MT UMNO Buat Keputusan Sama Ada UMNO-Pas Berunding Atau Tidak – Mohamad Hasan

SEREMBAN, 14 Sept – Keputusan sama ada UMNO dan Pas akan mengadakan rundingan termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata baik buruk rundingan atau pertemuan antara kedua-dua parti tersebut akan dibincangkan sekiranya perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat MT UMNO.

“UMNO bukan saya, UMNO adalah parti, jadi parti kena buat keputusan, apa sahaja pandangan saya tidak penting, pandangan parti itu penting. Ia diputuskan dalam satu musyawarah dan badan tertinggi iaitu Majlis Tertinggi,” katanya kepada pemberita pada Program [email protected] DUN Paroi 2022 di Dataran Senawang di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Pas menganggap semua pihak bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (rakan kerjasama) dalam membina negara baik serta diredai tuhan dan perkara itu diputuskan Jawatankuasa Kerja Pas yang bermesyuarat pada Ahad lepas.

Bagaimanapun, Mohamad mengulangi pendirian bahawa Barisan Nasional (BN) setakat ini memutuskan untuk menghadapi PRU15 secara bersendirian.

Sementara itu, beliau berkata BN ketika ini masih belum menyentuh aspek calon dan kerusi bagi menghadapi PRU15.

“Belum lagi lihat soal itu, (calon dan kerusi) sebab mahu lihat boleh menang, kesiapsiagaan itu faktor utama menang kalah untuk hadapi pilihan raya. Tidak guna kita cakap soal calon… kalau jentera tiada, tidak guna juga, kesiapsiagaan jentera amat penting,” katanya. – BERNAMA