Kejayaan Bukan Datang Bergolek, Retreat Wanita Mersing Demi Jayakan PRU15 – Norshida

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam perjuangan ianya bukanlah satu perkara yang cukup mudah malah memerlukan pelbagai gabungan khususnya soal pengalaman dan sebagainya.

Menurut beliau jika bercakap soal tersebut sudah pasti perlu dilihat dari pelbagai sudut yang memerlukan pelaksanaan serta perancangan termasuklah soal pengalaman itu sendiri untuk menjayakan sesebuah perjuangan.

“Inilah yang dikatakan… kita sama-sama berkongsi dan sama-sama melontarkan pengalaman pada program Retreat Wanita UMNO Mersing. Usaha kita untuk mencapai kejayaan bukan hanya sebuah perjuangan, tetapi pengalaman yang patut kita kongsikan.

“Tahniah buat Hajah Malatimah Bandi dan seluruh kepimpinan Wanita atas inisiatif program ini. Ini membuktikan bahawa Wanita Mersing telah merangka, menyusun dan menggerakkan segala usaha untuk memenangkan kerusi di Parlimen Mersing pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Bercakap lebih lanjut beliau seterusnya melihat apa yang dilaksanakan oleh Wanita Mersing menerusi retreat berkenaan sudah pasti membolehkan pelbagai perkara dan perancangan dapat dibincang secara terus.

Malah apa yang lebih penting jelas beliau lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, segala perancangan dapat diurus dengan sebaiknya dan apabila semboyan dibunyikan nanti pelaksanaan sudah pasti akan lebih teratur.

“Sekali lagi kita ucapkan tahniah kepada Wanita UMNO Mersing. Ini menunjukkan Wanita tidak berpeluk tubuh apatah lagi menjelang PRU dalam usaha memastikan parti mencapai kejayaan kelak bukan sahaja di bumi Mersing malah seluruh negara, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.