Siapa Bermaharajalela? Rakyat Jangan Mudah Diperdaya Musuh Politik UMNO/BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat supaya jangan mudah terpedaya dengan musuh politik UMNO/Barisan Nasional (BN) serta tidak melupakan siapa yang bermaharajalela sewaktu memegang tampuk pemerintahan.

Beliau berkata demikian melalui hantaran di laman Facebooknya serta turut berkongsi hantaran video yang dimuat naik oleh BNComms.

“Nurul Izzah kata kalau UMNO terus berkuasa, Peguam Negara akan ditukar sebagaimana yang disarankan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman. Dia kata ini adalah bahaya kerana BN akan bermaharajalela. Izzah lupa siapa yang sebenarnya bermaharajalela.

“Sudah didedahkan dalam buku Tommy Thomas, bahawa beliau adalah pilihan Peguam Negara bagi Pakatan Harapan (PH) dan juga beliau telah mendapat sokongan daripada Lim Kit Siang dan diberikan jawatan sekiranya PH menang,” kata video tersebut.

Menurut video itu, Nurul Izzah juga lupa apa yang telah dilakukan oleh PH termasuk pemecatan Peguam Negara pada ketika itu sehingga menggugat kedaulatan negara ekoran kehilangan Pulau Batu Putih.

“Izzah lupa perkara pertama yang dilakukan PH ialah memecat Peguam Negara ketika itu iaitu Tan Sri Mohamad Apandi Ali. Selepas dipecat, mereka gugurkan kes Pulau Batu Putih sehingga Malaysia hilang kedaulatan pulau tersebut buat selama-lamanya.

“Selepas itu, mereka lantik Tommy Thomas seperti dijanjikan Lim Kit Siang. Akhirnya kes anaknya Lim Guan Eng ditangguh dan digugurkan. Bukan itu sahaja, 15 kes jenayah lain yang melibatkan pemimpin-pemimpin PH digugurkan Tommy Thomas.

“Ketua Hakim Mahkamah dan Presiden Mahkamah Rayuan disuruh untuk mengadap Council of Eldest dan disuruh untuk meletakkan jawatan diganti pula dengan Richard Malanjum pilihan Kit Siang dan juga DAP. Selepas bersara, beliau dilantik sebagai Pengerusi Berjaya Land dan berkempen untuk PH di PRN Sabah,” katanya lagi.

Kata video itu lagi, pendedahan peranan penting Tommy Thomas dalam pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak jelas bertentangan dengan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“Dalam bukunya, Tommy Thomas turut mendedahkan peranan penting beliau dalam pelantikan Ketua Hakim Negara Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun, juga Presiden Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi Malaya dan juga Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Ini bertentangan dengan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakimanlah yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas pelantikan-pelantikan tersebut.

“Izzah juga telah terlupa bahawa PHlah yang melantik pemimpin kanan PKR sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan juga melantik pemimpin PAN sebagai speaker Dewan Rakyat. Semuanya orang mereka. Izzah sudah lupa siapa sebenarnya yang bermaharajalela selama ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.