Tolak PH… Isu Pemilihan Belum Selesai, Lemahnya PKR Urus Parti Sendiri – Azhari

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menempelak PKR sambil menyifatkan parti itu sebagai gagal ekoran pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei dilaporkan masih belum selesai.

Katanya, ini menunjukkan kerapuhan PKR kerana lemah dalam mengendalikan perkara penting seperti pemilihan parti itu.

“Saya ingat isu pemilihan parti PKR sudah selesai, rupanya masih belum selesai walaupun sudah empat bulan berlalu.

“Jika 53 cabang perlu buat pemilihan semula dari sini kita dapat lihat betapa lemahnya PKR dalam menguruskan parti sendiri.

“Tambahan pula hanya 12 peratus dari ahli PKR keluar mengundi. Ini salah satu tanda bahawa ahli PKR sudah mula tidak yakin dengan PKR sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan pemilihan semula perlu diadakan di kebanyakan bahagian di termasuk Gombak dan Ampang.

Desas-desus juga mengatakan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah mengarahkan parti itu untuk mengadakan pemilihan semula di 53 cabang susulan aduan daripada beberapa pemimpin parti yang tidak puas hati.

Sementara itu, Azhari pada masa sama turut menasihati Timbalan Presiden, Rafizi Ramli untuk terlebih dahulu memperbetulkan parti tersebut berbanding menggerakkan Ayuh Malaysia.

“Sepatutnya Rafizi Ramli fokus kepada Ayuh PKR dahulu sebelum fikir pasal Ayuh Malaysia, saya berharap rakyat tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Jangan biarkan rakyat merana setelah kita semua alami selama 22 bulan pemerintahan PH… ternyata gagal,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib