Kenyataan Celaru Pimpinan Pas Menjelang PRU15 Jadi Tanda Tanya

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin hari ini memaklumkan bahawa beliau bukan sahaja tertanya-tanya malah hairan dengan kecelaruan pimpinan Pas berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Soal beliau bagaimanakah sebuah parti yang sudah lama bertapak dalam senario politik negara masih berdepan dengan masalah kesepaduan dalam membuat keputusan penting berkaitan strategi pilihan raya.

“Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas yang begitu yakin mengumumkan mereka akan bertanding 80 kerusi Parlimen dalam PRU ke-15 (PRU15), sedangkan Timbalannya menyatakan bukanlah 80 kerusi yang akan ditandingi sebaliknya itu hanya dalam pemantauan, jelas memaparkan betapa celarunya mereka.

“Dari seorang Menteri Besar Pas menjaga negeri dengan seorang Menteri Pas menjaga pentadbiran pusat yang saling bercanggah… ini secara tidak langsung memberi petanda bahawa sehingga kini masih tidak ada kesepaduan antara kepimpinan tertinggi parti. Mungkin penyakit ‘gila kuasa’ mereka sudah tidak dapat dirawat lagi.

“Sanusi Md. Nor berangan-angan akan menang 40 kerusi parlimen Pas, iaitu 50 peratus daripada keseluruhan kerusi yang mungkin ditandingi sedangkan jika dianalisa, mereka hanya mampu menang 18 kerusi daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandingi parti tersebut dalam PRU lepas,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Tambah Shaiful lagi, jika diperhatikan berdasarkan rekod yang lepas, kadar kebolehmenangan Pas hanyalah 11 peratus dan untuk meletakkan kadar kebolehmenangan kepada 50 peratus dalam PRU akan datang adalah tak ubah seperti angan-angan menerawang langit.

Malah katanya berdasarkan statistik, Pas mengalami calon kehilangan wang pertaruhan paling ramai iaitu 50 bagi Parlimen dan 96 bagi DUN yang berjumlah 146 kerusi kesemuanya yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.345 juta.

“Adakah mereka tidak belajar dari kesilapan lalu? Saya lihat Pas sudah mula tampak kaki ularnya. Jika PRU terdahulu mereka bertanding secara bersendirian, apa sahaja keputusan boleh mereka ambil tanpa mengambil kira strategi politik dengan gabungan politik lain. Kini kata putus bersama Perikatan Nasional turut perlu difikirkan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

“Saya lihat Pas masih dalam dilema, ke pihak mana yang akan lebih menguntungkan mereka. Parti yang bersifat lalang ini semestinya akan mengikut angin semasa. Mana yang lebih kuat membawa manfaat, itulah yang dikejar mereka.

“Dengan isu penggunaan lambang Pas yang masih belum selesai, isu fitnah terhadap bukan islam sebagai punca rasuah yang belum ditangani dan kini isu kerusi parlimen yang akan ditandingi pula mula menampakkan wajah sebenar PAS dalam perikatan ini.

“Saya percaya dengan kecelaruan tanpa kesepaduan ini, PAS tidak mungkin akan memegang tampuk kepimpinan negara. Mana mungkin parti yang wujud percanggahan besar di antara kepimpinan parti dan sentiasa menjadikan agama sebagai tunggangan politik akan diangkat sebagai kerajaan pilihan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.