Pahang Sedia Bangunkan ‘Pocket Land’ FELDA – MB

KUANTAN, 11 Sept – Kerajaan Pahang akan membangunkan ‘pocket land’ atau tanah tersepit di kawasan FELDA seluruh negeri, untuk pembinaan rumah bagi generasi kedua melalui peruntukan RM1 billion yang telah diluluskan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata daripada peruntukan itu sebanyak RM200 juta akan digunakan bagi menyiapkan projek perumahan felda yang terbengkalai.

“Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan yang mana kerajaan negeri bersetuju bagi tanah-tanah tersepit dalam kawasan FELDA, dibangunkan projek untuk rumah generasi kedua, bagi membantu mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Suratan Hak Milik tanah kepada 676 peneroka FELDA Bukit Sagu 1, 2 dan 3 di Dewan Semai Bakti FELDA Bukit Sagu 1 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy berkata di Pahang terdapat lebih 43,000 peneroka FELDA, dengan 2,160 peneroka lagi masih belum menerima Surat Hak Milik tanah, yang beliau berharap proses itu dapat dipercepatkan bagi membantu peneroka terlibat.

Sementara itu, salah seorang penerima Suratan Hak Milik hari ini, Ishak Ibrahim, 76, berterima kasih dengan pemberian suratan tanah berkenaan, yang diperolehnya selepas 40 tahun bertungkus-lumus mengusahakan tanah tersebut.

“Saya amat bersyukur dan terima kasih kepada FELDA  dan kerajaan yang memberi geran tanah ini kepada saya. Saya mula menyertai FELDA Bukit Sagu 1 dari Tahun 1982 dan akhirnya merasa untuk memegang geran,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Bagi Abdul Razaki Mustafa, 63, penantian selama ini untuk mendapatkan Suratan Hak Milik tanah yang diusahakannya sejak tahun 1982 akhirnya tercapai.

“Walaupun kita tahu ini adalah tanah kita, tapi tetap ada rasa tak senang… bila nampak tanah sudah ditukar kepada nama sendiri, baharu lega kerana ada bukti untuk kita tunjuk kepada anak cucu.

“Saya harap mereka juga akan menghargai tanah ini kerana bukan senang nak dapat tanah. Perit jerih mengusahakan tanah ini masih segar dalam ingatan saya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.