Ini Soal Reputasi Dan Prinsip, UMNO Kedah Masih Menanti Permohonan Maaf SUA Pas

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menolak sekiranya ada pihak yang menyifatkan isu jemputan ke Muktamar Pas yang berakhir semalam terlalu ‘kecil’ untuk diperbesarkan.

Bagi beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Merbok, kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah serius dan tidak dapat diterima.

Ini kerana tegasnya secara terang dan jelas beliau ada menyebut bahawa jemputan telah dikeluarkan secara fizikal kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan hakikat sebenar adalah sebaliknya.

“Saya sentiasa konsisten bahawa tiada sebarang jemputan, dalam sebarang medium, untuk Perhubungan UMNO Negeri Kedah, seperti yang di dakwa Setiausaha Agung Pas,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menegaskan pihaknya masih kekal menuntut permohonan maaf daripada Setiausaha Agung Pas kepada Badan Perhubungan UMNO Kedah kerana mendakwa telah membuat jemputan.

“Bagi saya ini soal reputasi dan prinsip. Sebagai sebuah parti yang mengaku bertunjangkan Islam, ‘penipuan’ adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diterima. Pesanan saya kepada Setiausaha Agung Pas, ‘bercakap benarlah walaupun ianya pahit’,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.