Tok Mat Mahu Pertahan Kerusi DUN Rantau, Tanding Parlimen Pada PRU15

REMBAU, 3 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan akan bertanding di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Penyandang kerusi DUN Rantau sejak tahun 2004 itu optimis mahu mempertahankannya dan yakin pengundi di situ, yang mencerminkan imbangan penduduk berbilang kaum di Malaysia, akan terus memberi sokongan kepada BN.

“Pengundi Melayu di sini setakat 51 peratus sahaja jadi ia perlu diurus dengan baik, insya-Allah saya akan terus mempertahan kerusi DUN Rantau pada PRU15.

“Memandangkan saya Timbalan Presiden UMNO, saya juga perlu bertanding di kawasan Parlimen bagi memainkan peranan di peringkat kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Merdeka di sini hari ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu tidak menyatakan kawasan Parlimen yang  bakal ditandinginya.

“Ini kerana sebagai Timbalan Presiden dan kepimpinan kanan parti, kita perlu berada di peringkat kebangsaan untuk menguruskan parti dan insya-Allah, kalau diberikan keyakinan oleh pengundi… menubuhkan kerajaan di peringkat pusat,” katanya.

Ketika ini, kerusi Parlimen Rembau disandang oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Mengulas senarai calon BN di Negeri Sembilan, beliau berkata sehingga kini perkara itu masih belum dibincangkan dan fokus gabungan politik itu ialah memperkuat jentera parti bagi menghadapi PRU15.

“Saya turun ke negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan untuk melihat kesiapsiagaan parti dan keperluan kita menggerakkan jentera di peringkat akar umbi… soal calon masih belum dibincangkan atau belum lagi sampai ke tahap itu,” katanya. – BERNAMA