PH Tidak Fokus Kebajikan Rakyat… Agenda Peribadi, Manfaat Pemimpin Fokus Utama

 

IPOH, 3 Sept – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berpandangan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan tidak fokus dalam menjaga kebajikan rakyat sebaliknya hanya mementingkan kepada agenda peribadi yang memberi manfaat kepada mereka.

Tidak menyangka hanya mentadbir hanya selama 22 bulan, Aznel berkata PH lebih terarah untuk mengambil faedah yang didapati di kawasan ini sehinggalah kejatuhan mereka.

“Mereka ketika itu melihat seperti lulus tanah, bentuk ekonomi… PH buat kesilapan kerana banyak tertumpu kepada peribadi sebagai contoh mereka hendak pastikan ketua-ketua dapat tanah tapak rumah jadi mereka hendak selesaikan dahulu perkara sebegini.

“Sebab PH pun tak sangka memerintah selama 22 bulan … mereka ingat sehingga habis penggal jadi mereka mudahkan urusan ketua-ketua dahulu.

“Nasib baik kepada kita kerana mereka tidak sempat untuk membuat program fokus kepada ahli mereka,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Bercakap mengenai sentimen yang dibawa PH, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu itu berkata mereka seringkali memainkan isu kelewatan pemilikan tanah yang dimohon oleh rakyat sebagai senjata politik mereka.

Katanya, kelewatan itu sebenarnya adalah kerana setiap permohonan yang dilakukan memerlukan laporan daripada pelbagai agensi dan jabatan negeri sebelum ianya diluluskan.

“Sejak dahulu lagi masyarakat di sini bekerja sebagai petani, penoreh getah, pekebun kecil jadi mereka pagi pergi kebun, balik lepas sembahyang Zohor mereka akan pergi ke belakang rumah tebas, tebang kemudian tanam pokok.

“Jadi apabila pokok sudah besar mereka akan minta sebagai hak milik, ini isu yang dimainkan pembangkang kerana ada sesetengah kelulusan agak lewat. Mesti orang akan tanya kenapa?

“Ini kerana bagi mendapatkan sesuatu hak milik, contohnya Ahmad mohon kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), kemudian kena dapatkan laporan daripada jabatan, agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

“Sebenarnya kelewatan ini daripada laporan jabatan-jabatan sehingga hari ini setiap kali sidang DUN isu ini dibangkitkan supaya mereka mencari mekanisme seperti saya cadangkan sebelum ini agar ada one stop centre pejabat tanah supaya dua bulan sekali kita boleh panggil semua jabatan ini dan selesaikan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aznel berkata bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pihaknya melakukan pelbagai kaedah dalam mendekatkan rakyat dengan UMNO/Barisan Nasional (BN) ini termasuk golongan muda.

Menurutnya, mengambil kira pengundi 18 tahun yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka buat pertama kali ini, pendekatan seperti menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) mengikut kecendurangan mereka dalam aktiviti rekreasi adalah tumpuan utama.

“Ini kerana mereka tidak tahu apa itu Pas, UMNO, PKR yang tahu habis sahaja sekolah mahu sertai belia atau mana-mana NGO jadi kita sekarang banyakkan penubuhannya dengan melaksanakan program.

“… seperti sebelum ini cukup berjaya pelaksanaan program kayuhan basikal untuk DUN Temenggor, anggaran 500 orang sertai tanpa kira latar belakang parti, minggu lepas saya buat Kembara Merdeka untuk belia seramai anggaran 200 motor tetapi yang datang 500, ini adalah luar dugaan kerana mereka ini sebenarnya inginkan program untuk orang muda.

“Dia tak suka kita buat program ceramah jadi kena ikut pendekatan dibuat … jadi sekarang kita ambil ketua-ketua kumpulan macam sekarang sudah ada 50 ketua kumpulan berdasarkan minat masing-masing seperti takraw, memancing, konvoi motor dan banyak lagi,” katanya.

Terdahulu, Aznel yang merupakan timbalan ketua bahagian menjadi pemangku setelah ketuanya yang juga Ahli Parlimen, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada November tahun lalu akibat akibat serangan jantung. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.