Mendepani PRU15, Pembangkang Sebenarnya Takut Dengan Najib – Sharkar

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Semua pemimpin tertinggi parti pembangkang kelihatan seperti mahu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan dengan segera selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, ini membawa maksud bahawa mereka takut untuk berhadapan dengan beliau.

“Ketika Datuk Najib tidak dipenjarakan, semua parti pembangkang cakap tidak mahu pilihan raya. Tapi sekarang, semua pemimpin tertinggi termasuklah Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semuanya mahu pilihan raya diadakan dengan segera.

“Maksudnya apa? Maksudnya mereka takut kepada Datuk Seri Najib, tetapi saya cukup yakin bahawa walaupun mereka memenjarakan beliau, semangat dan bayangannya akan terus bersama-sama dengan rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu turut menzahirkan kesedihan di atas apa yang menimpa Najib dan berharap agar keadilan dapat diberikan kepada beliau.

“Kita merasa sangat sedih atas apa yang berlaku kepada beliau, seorang Perdana Menteri yang saya kira berfikiran jauh. Kalau kita tengok inisiatif yang dia buat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpendapatan tinggi sangat hebat dan ianya begitu realistik.

“Tetapi ini sebahagian daripada kehidupan. Cumanya UMNO menyatakan rasa tidak puas hati apabila proses yang dilakukan itu tidak mendapat keterbukaan. Dalam perlembagaan juga ada disebut bahawa kita harus memberi peluang seluas mungkin untuk orang yang dituduh itu membela diri. Jadi, itu sedikit kekesalan.

“Apabila perkara ini berlaku, maka tentulah ada tafsiran-tafsiran yang menyatakan bahawa kita mempertikaikan keputusan pihak tertentu. Ini sebenarnya yang kita tidak mahu. Apa pun, kita rasa ketidakadilan itu mesti dibela,” katanya lagi.

Sementara itu, menjawab mengenai soal wujudnya tanggapan bahawa ada pihak cuba memecah belahkan UMNO dari dalam, Sharkar menafikan hal tersebut.

“Sebenarnya ini adalah taktik musuh kerana UMNO ini kalau dari luar mungkin ia tidak dapat dipecahkan, maka dia terpaksa pecahkan daripada dalam. Sebenarnya itu tanggapan mereka sahaja.

“Selepas kita bermesyuarat MKT baru-baru ini, saya kira bahawa ukhuwah antara kami sangat tinggi. Tidak ada langsung pertikaian, semuanya bercakap dalam keadaan yang sangat rasional dan kita cari jalan penyelesaian bersama. Paling penting sekali ialah bagaimana untuk kita mencari penyelesaian terutama sekali untuk menghadapi PRU ke-15,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.