Tinjauan 12 Negeri, Mohamad Yakin Jentera BN Siap Siaga Depani PRU15

 

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yakin bahawa BN bersedia mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika diadakan bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata demikian setelah melihat sendiri tahap kesiapsiagaan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya selepas selesai melakukan tinjauan di 12 negeri Semenanjung Malaysia dengan yang terakhir di Pahang pada Selasa.

“Dalam gerak kerja kami, saya selaku pengarah pilihan raya parti telah pergi dari negeri ke negeri melihat dan meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan jentera parti kita untuk menghadapi pilihan raya yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja.

“Pahang negeri yang terakhir, yang ke-12 di Semenanjung dan minggu depan kami akan ke Sabah. Sabah itu ‘last’ sekali… setakat 12 negeri di Semenanjung ini yang kita telah pun bersama-sama maka saya lihat tahap kesiapsiagaan jentera di peringkat bahagian-bahagian di seluruh negeri nampaknya dalam keadaan yang amat bersedia.

“Cumanya ada perkara-perkara yang kita telah pun bincangkan bersama, yang perlu diperbaiki dan ditingkatkan lagi kerana persiapan untuk kita menghadapi hari itu penting, sekarang ni persiapan sebelum pembubaran parlimen,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO menjelaskan bahawa ada tiga tahap yang perlu dilakukan iaitu persiapan sebelum pembubaran parlimen, persiapan selepas penamaan calon dan juga persiapan semasa hari mengundi.

“Ini tiga fasa yang perlu setiap bahagian Parlimen mempunyai gerak kerja yang benar-benar disiap sediakan terutamanya selepas pembubaran Parlimen dan selepas penamaan calon kerana semasa berkempen 14 hari itu nanti kita tidak punyai masa untuk mesyuarat atau baru kita nak mulakan gerak kerja.

“Bubar saja Parlimen masuk kepada fasa apa perlu kita buat, apa persiapan apa yang perlu kita lakukan dan apa benda yang nak kita fokuskan. Selepas penamaan calon nanti berkempen 14 hari nanti itu cerita lain.”

Katanya, hal terbabit perlu jelas kepada semua iaitu bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin peringkat bahagian tetapi ia mesti difahami bersama oleh jentera di bawah.

“Jentera mesti faham dengan tugas masing-masing, jentera mesti diberitahu tugas mereka supaya nanti tidak kelam-kabut terutamanya semasa hari mengundi itu.

“Tak guna jika kita kata kajian sikap Wanita dan juga Puteri misalnya ada 10 ribu tapi yang keluar datang mengundi kita cuma enam ribu, 40 peratus lagi tak ada maka itu tidak membawa kebaikan kepada parti.

“Jadi ini perlu dilihat dan perlu disusun gerak kerja secara berfokus, jangan ada pertindihan-pertindihan dan juga jangan ada pulak kelompong-kelompong supaya masing-masing tahu tugas masing-masing dan gerak kerja kita berjalan dengan baik dan tidak ada ganggu gugat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas selesai mengadakan pertemuan dengan BN Pahang yang berlangsung pada Isnin dan Selasa lalu.

Terdahulu beliau telah mengadakan sesi libat urus dan perjumpaan dengan jentera di negeri-negeri yang bermula di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang pada Julai lalu. – UMNO Online