Gunung Inas: MB Kedah Jangan Ego, Keselamatan Rakyat Perlu Diutamakan

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin meluahkan kebimbangan dengan sikap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak konsisten dan bercanggah dengan kesimpulan dibuat oleh pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berkenaan projek Gunung Inas.

Beliau juga memaklumkan pernah mengusulkan agar sebuah jawatankuasa bebas parti ditubuhkan bagi kembali melihat punca dan cadangan prosedur operasi standard (SOP) baru pembalakan dan tanam semula, namun ditolak oleh Muhammad Sanusi.

“Nasihat saya… Menteri Besar jangan ego dan sombong apabila berurusan dengan soal keselamatan dan kepentingan rakyat, cari penyelesaian yang jitu dan berkesan, kurangkan berpolitik.

“Menteri Besar juga buat penegasan, lagi seperti yang kita tahu cukup ‘tegas’, bahawa kerajaan tidak akan buat penanaman semula di kawasan pasca pembalakan. Segalanya akan diserah kepada fungsi dan perjalanan semula jadi untuk kawasan tersebut kembali menjadi hutan seperti sebelum ini.

“Cuma saya tertanya-tanya akan Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) – Senarai Perundangan telah menetapkan hal tanah, pertanian dan perhutanan adalah di bawah Senarai Negeri yang menyentuh hal kebajikan masyarakat, perlindungan binatang liar serta perancangan bandar dan desa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Shaiful Hazizy juga pada masa sama berkata beliau tidak bersetuju sekiranya kawasan tersebut dibiarkan begitu sahaja tanpa sentuhan pemuliharaan, melainkan kembali dinilai pakar bebas serta SOP yang ketat tanpa kompromi serta pemantauan berterusan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok turut mengimbau kembali persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah awal bulan lepas apabila Muhammad Sanusi dengan garang dan tegas memberi amaran akan mendedahkan pihak-pihak yang terbabit dalam projek Gunung Inas.

Namun kata Shaiful Hazizy telah hampir dua bulan sudah berlalu rakyat masih menanti pendedahan yang tidak kunjung tiba, meskipun dikhabarkan wujud dokumen, perjanjian dan surat yang bakal dipertontonkan namun masih sepi hingga ke hari ini.

“Amat musykil dan tertanya-tanya, apa sebenarnya yang telah berlaku, setelah beberapa siri amaran dan ketegasan yang telah dipamerkan? Sudah tidak berani mahu dedah atau takut terkena batang hidung sendiri.

“Saya hendak beri peringatan kepada Menteri Besar, bahawa beliau pernah berjanji untuk buat pendedahan mengenai ‘tragedi gunung Inas’. Rakyat masih tertunggu-tunggu dan sememangnya perlu diberi penjelasan sejelas-jelasnya tentang apa yang berlaku.

“Tetapi hakikatnya, kita juga berharap apabila pendedahan itu dibuat, diharapkan pihak kerajaan negeri mahupun persekutuan dapat buat perubahan SOP ataupun peraturan untuk kepentingan rakyat. Ini soal nyawa dan kepentingan awam, seharusnya tiada kompromi.

“Harapan saya kepada Menteri besar agar jangan pendedahan ini dibuat secara tidak penuh, dedahkan kronologi Gunung Inas ini bermula daripada kelulusan tahun 2008 hinggalah yang terkini. Jangan ada satu pun yang tertinggal, kerana ianya penting supaya kita dapat tahu dimana sekiranya ada unsur-unsur salah guna kuasa, salah laku kewangan, mahu pun aspek prosedur kelulusan,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.