Surat Viral Keutamaan Kes Ahmad Zahid Cemar Sistem Kehakiman

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Pemuda UMNO memandang amat serius viral surat daripada Pejabat Peguam Negara yang meminta Hakim Mahkamah Tinggi memberi keutamaan terhadap perbicaraan kes Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata walaupun Pejabat Peguam Negara telah menarik balik surat berkenaan selepas ia bocor menerusi media sosial, namum niat pengeluaran surat itu menimbulkan persoalan.

“Adakah wujud unsur niat jahat daripada pejabat Peguam Negara dalam kes membabitkan pemimpin UMNO? Mengeluarkan surat, kemudian menarik balik seolah tiada apa-apa berlaku adalah sikap tidak jujur kerana kesan negatif surat itu telah berlaku.

“Dan sekarang kita mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid boleh mendapat perbicaraan yang adil dan telus? Pemuda UMNO melihat DPP kes melibatkan Ahmad Zahid perlu ditukar kerana surat berkenaan mengambarkan niat beliau mencampuri urusan kehakiman.

“Kemunculan surat itu, yang ketiga selepas viral draf keputusan Mahkamah Persekutuan kes SRC Datuk Seri Najib Tun Razak (yang kemudiannya draf itu diakui sahih) dan kemudiannya viral draf keputusan kes mahkamah Datin Seri Rosmah Mansor pada 1 Sept ini, juga menimbulkan persoalan tentang ‘code of conduct’ sistem perundangan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi ia juga adalah satu tragedi kepada sistem perundangan, yang selama ini dijunjung tinggi masyarakat, telah mencemarkan kesucian sistem perundangan dan meletakkan sistem itu menjadi persoalan ketelusan oleh masyarakat yang sentiasa berharap sistem perundangan mempraktikan keadilan melebihi sebarang keraguan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.