Pendakwaan Tarik Balik Surat Mohon Mahkamah Utamakan Kes Ahmad Zahid
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob yang mengemukakan permohonan itu memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut kini sudah selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.
“Oleh itu tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini,” katanya sebelum bermulanya prosiding hari ini.
Pada ketika ini, Hakim Sequerah berkata tiada sesiapa yang boleh menentukan kes apa yang harus diberi keutamaan di mahkamah.
Peguam Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, kemudian bangun dan berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.
“Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang,” tegasnya.
Hakim Sequerah juga merupakan hakim perbicaraan dalam kes 1MDB Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Surat kepada setiausaha Hakim Sequerah dihantar petang semalam yang Abdul Malik menyatakan bahawa beliau diarah memberi keutamaan kepada kes Ahmad Zahid yang kini di peringkat pembelaan dan salinan surat itu turut diserah kepada pasukan pembelaan Ahmad Zahid.
Sejak petang semalam, surat itu tular di media sosial malah terdapat pihak mempertikaikan ketulenannya.
Perbicaraan kemudian bersambung apabila Ahmad Zahid diperiksa semula oleh peguamnya Hamidi Mohd Noh.
Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi. – BERNAMA