Jernihkan BN, Mohamad Pesan Dahulukan PRU Sebelum Fikir Pemilihan UMNO

 

KUANTAN, 30 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan anggota parti perlu jernihkan BN dalam usaha mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang boleh berlaku bila-bila masa dari sekarang.

Tegasnya yang juga Timbalan Pengerusi BN, sekiranya anggota parti bertelingkah sesama sendiri maka pihak lawan akan beroleh kemenangan.

“Kita jernihkan dalam UMNO, MCA, MIC. Nak menang buat cara nak menang (PRU) kerana bertelingkah sesama sendiri pihak lawan boleh menang.

“Lupakanlah dulu nak bertanding dalam parti. Pemilihan parti UMNO enam bulan selepas PRU, kita dah buat ketetapan maka kiralah nak PRU dulu. Dah menang esok dalam PRU maka marilah kita berlawan (pemilihan parti). Itu sesama kita sahaja.

“Yang nak menang ini adalah parti untuk mendepani PRU maka dah menang esok barulah kita bertanding dalam parti dan sekarang walaupun PRU kita tak dapat jangka tapi persiapan yang rapi akan membuatkan kita dapat menjangka keputusan yang baik,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian dalam ucapan semasa majlis perjumpaan bersama kepimpinan parti komponen BN Negeri Pahang, semalam.

Jelas Mohamad, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen PRU15 akan diadakan tidak lama lagi.

“…tapi beliau tidak bagi tarikh, sehingga beliau terpaksa kata takkan nak bawa sampai tahun depan, jadi jelas PRU tahun ini, kalau tahun ini takkan nak buat bulan 12 (Disember) nanti orang berenang pulak nak pergi mengundi… itu jangka masa yang perlu kita perhati betul-betul dan lakukan gerak kerja.”

Katanya, dalam rangka untuk menghadapi PRU, BN perlu mengenal pasti musuh yang sebenar dan mengenepikan percanggahan pendapat dalam parti.

“Pilihan raya tak lama lagi. Kita berhadapan dengan musuh yang nak memusnahkan kita. Kita perang betul-betul, dan kenal siapa musuh kita yang sebenar.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor parti yang kedua dapat banyak undi ialah Perikatan Nasional (PN) maka tengok kawasan kita kerana kita tak tahu musuh kita.

“Parti yang belum kita lihat sebagai ancaman kita untuk PRU ialah PN maka jangan sampai mereka baca langkah kita.”

Dalam masa yang sama, beliau meminta anggota parti untuk perhalusi gerak kerja di akar umbi dan perkukuhkan kesepakatan.

“Lupakan sengketa kerana ia hanya menguntungkan pihak lawan. Tengoklah negeri saya sendiri di Negeri Sembilan, PAN boleh menang tiga kerusi sedangkan mana ada PAN, tak kuat mana pun mereka tapi kerana kesilapan kita maka kita tewas.

“Sakit berpunca, mati bersebab. Kita lihat apa punca kita tak dapat terjemahkan sokongan di peti undi. Banyak kerusi kita tak boleh menang jika kita tak dapat terjemahkan sokongan kepada BN di peti undi. Pengundi di PRN Melaka, banyak saluran orang muda kita menang maka di Pahang ini bacalah elok-elok berapa ramai pengundi muda.”

Beliau turut menyorot PRN Johor bahawa mesej orang muda jelas mahukan BN kembali semula berkuasa kerana inginkan kemakmuran dan kestabilan untuk negara.

“Kita kena menang kerana jika tidak kita akan tergadai di tanah air sendiri. Kita akan lawan tetap lawan,” katanya.

Mohamad berada di Negeri Pahang dalam gerak kerja BN bagi mendepani PRU dengan negeri terbabit adalah negeri ke-12 iaitu yang terakhir di Semenanjung Malaysia.

Hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan tertinggi parti peringkat Negeri dan bahagian.

Turut bersama ialah Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Naib Presiden MIC, , A Kohilan Pillay dan kepimpinan kompenan Negeri Pahang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.