Najib Kerja Siang Malam Untuk Bantu Rakyat – Nizar, Nooryana

 

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bekerja siang dan malam untuk membantu serta menyelesaikan masalah rakyat, kata anak sulungnya, Mohd Nizar.

Jelasnya, semasa beliau dan adik-adik membesar, mereka menyaksikan sendiri bagaimana ayahandanya mengorbankan masa serta usia mudanya termasuk masa bersama ahli keluarga untuk mengutamakan rakyat.

“Dia (Najib) menjadi ahli parlimen pada usia 23 tahun apabila Allahyarham Tun Abdul Razak kembali ke Rahmatullah. Begitu banyak jasanya kepada orang ramai, parti dan kerajaan.

“Namun saya tak sangka nasib sebegini akan menimpa beliau. Kita jangkakan ia berlaku tapi apabila hukuman jatuh, ia bagaikan ditampar, disepak, diterajang berkali-kali,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Taklimat Khas Presiden, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan berkata, ramai rakyat masih lagi bersedih dengan peristiwa menimpa bekas perdana menteri itu sehingga membatalkan majlis dan program yang telah dijadualkan.

“Saya tahu suasana banyak tempat di Malaysia, amat sedih, pilu dan hiba terutama sekali di Parlimen Pekan. Bayangkan seorang pemimpin dan ahli parlimen yang telah berkhidmat selama 46 tahun tiba-tiba sudah tiada di kawasan. Ramai yang menangis tak berhenti. Rindu dengan raut wajah ayahanda, suara, gelak ketawa dan sentuhan peramah beliau. Tidak kurang juga majlis dan program dibatalkan kerana Pekan masih berduka.

“Beliau bukan sahaja ayahanda kepada saya dan adik-adik tetapi juga figura ayahanda kepada ramai rakyat Malaysia. Semasa mentadbir, ramai meminta bantuan serta pertolongan dan dia tidak pernah menolak. He can never say no sebab itulah tanggungjawab dia sebagai seorang pemimpin dan juga pemimpin utama kerajaan,” katanya lagi.

Tambah Nizar, Najib sanggup berkorban apa sahaja bagi mempertahankan parti namun tidak meminta parti untuk mempertahankannya.

“Saya tahu ayahanda saya, betul-betul sayangkan UMNO, parti keramat ini. He is a real party man, sanggup berkorban apa sahaja asalkan UMNO/Barisan Nasional (BN) kembali sebagai peneraju parti pilihan rakyat Malaysia.

“Semasa UMNO/BN kalah dahulu, dialah orang pertama yang kedepan mempertahankan parti dan dia juga tidak meminta parti untuk mempertahankan dia. Dia sanggup dihina, dikeji, tapi dia masih teruskan. Saya fikir jika ayahanda saya diberi pilihan antara penjara atau selamatkan diri, beliau lebih rela pilih penjara daripada menjadi pengkhianat dan bacul kepada parti,” katanya lagi.

 

Sementara itu, anak perempuan kepada Najib, Nooryana Najwa turut berkongsi mengenai impian ayahandanya untuk membantu rakyat dan memajukan negara.

“Saya pernah bertanya kenapa daddy tiada kerja biasa seperti orang lain? Dengan tenang daddy menjawab, kalau ada kerja biasa seperti orang lain, daddy hanya boleh bantu beberapa orang sahaja. Tetapi sebagai seorang ahli politik, daddy mampu bantu ubah kehidupan jutaan rakyat Malaysia. Itulah daddy saya, Najib Razak yang telah berkorban segala-galanya kepada negara sejak 46 tahun.

“Setiap waktu memikirkan bagaimana beliau boleh membantu rakyat, bekerja untuk rakyat. Daddy selalu mengingati saya ‘Yana dalam politik ni kita harus selalu fokus kepada rakyat, rakyat, rakyat’ kerana beliau percaya potensi Malaysia ni besar. Impian beliau hanya satu, menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, berpendapatan tinggi agar peluang yang seluas-luasnya dapat dibuka untuk rakyat Malaysia.

Menurut Nooryana lagi, Najib menyayangi setiap rakyat umpama menyayangi anak-anaknya sendiri.

“Tapi selepas 2018, daddy terpaksa bahagi masa. Pagi hingga ke petang di mahkamah. Pada waktu malam pula jalankan tugas parti dan rakyat. Ini kerana daddy menyayangi setiap rakyat umpama menyayangi anak-anak sendiri. Kadang-kadang saya rasa daddy sayang rakyat lebih kot pada kami.

Mommy selalu kata, takpelah kalau daddy penat, asalkan rakyat boleh hidup dengan selesa. Bagi daddy, jawatan itu tidak penting. Yang penting beliau lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya lagi.

Media pada 23 Ogos melaporkan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International sekaligus memerintahkan beliau untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.