Menjelang Taklimat Khas Presiden, WTCKL Mula Dikunjungi Khalayak

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini yang menjadi lokasi Taklimat Khas Presiden UMNO mula menjadi tumpuan khalayak.

Seawal pukul 12.00 tengah hari para pendukung parti khususnya ahli-ahli UMNO dari pelbagai peringkat telah hadir untuk memenuhi Dewan Merdeka dan Dewan Tun Razak 4 yang menjadi lokasi bagi taklimat tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan mengadakan Taklimat Khas Presiden yang turut dihadiri Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ahli jawatankuasa bahagian dan pimpinan.

Taklimat tersebut diadakan berikutan perkembangan politik terkini selain kesiapsiagaan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Para pengunjung yang hadir digamit dengan catatan ‘Nukilan Untuk Najib’ yang disediakan untuk mereka merakamkan ucapan atau kata-kata kepada Perdana Menteri keenam itu ekoran keputusan mahkamah baru-baru ini.

Khalayak yang hadir di sini menyemarakkan perjuangan parti dengan berpakaian berwarna merah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.