Kes Najib: Nak Tukar Peguam Pun Tak Boleh? – Azalina

 

 

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman memaklumkan bahawa beliau terperanjat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan pertukaran peguam serta penangguhan dalam kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan keadilan berjalan sebaiknya bagi kes SRC International.

Jelasnya, keadilan dalam proses undang-undang itu adalah memberikan segala-galanya yang mahu dibawakan.

“Tapi saya nak cakap satu sahaja, takkan nak tukar peguam pun tak boleh? Kalau dah kata salah, tukar peguam sepuluh kali pun salah. Kalau dah buat keputusan, berapa kali tangguh pun keputusan tetap sama.

“Itu yang saya tidak faham. Agaknya, yang pelik bin ajaib, mungkin dia tidak mahu orang tahu cerita sebenar. Mungkin,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Taklimat Khas Presiden, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang dan pengamal undang-undang itu berkata, sekiranya ada apa-apa sahaja bukti yang menggoyangkan sesuatu keputusan perbicaraan adalah dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kamar perbicaraan.

“Saya yang baca ni pun terperanjat. Tangguh dua bulan tak boleh, tangguh tiga bulan tak boleh. Tan Sri Shafee minta tangguh satu hari, baju tak sempat nak tukar pun tak boleh sebab mesti masukkan (Najib ke penjara) hari ini juga.

“Maknanya tuan-tuan dan puan-puan, dalam kes-kes jenayah, ada apa-apa bukti yang dilihat menggoyangkan keputusan itu dibenarkan untuk dibawa masuk. Bukan sahaja dalam Islam, dalam semua aspek sekalipun,” katanya lagi.

 

Kata Azalina lagi, proses undang-undang adalah berkaitan dengan keadilan.

“Itu sebab dalam proses undang-undang, keadilan itu ialah memberikan segala-galanya yang kita nak bawa. Maknanya dalam Islam sekalipun, seorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehingga mencukupi segala bukti yang dia bersalah.

“Datuk Zaid Ibrahim, Tan Sri Shafee sebagai peguam sedaya upaya cuba membawa bukti. Kita bukan peguamnya, kita tidak dalam mahkamah kita tak tahu. Tetapi yang kita tahu, kalau tangguh pun tak boleh, jawapan saya ‘jeng jeng jeng’.

Pada akhir Julai media melaporkan bahawa Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan menetapkan tarikh pendengaran rayuan ditetapkan bermula 15 hingga 19 Ogos lalu.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjaran serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.