Ahmad Zahid Ingatkan Kuatkan Perpaduan Dalam Parti, UMNO Keluarga Besar

 

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Isu mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sewajarnya menyatukan seluruh keluarga parti berkenaan yang bukan sahaja perlu dipertahankan malah sentiasa ditingkatkan.

Perkara ini ditekankan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengingatkan bahawa parti berkenaan adalah satu keluarga besar yang perlu dipertahankan.

“Peristiwa menimpa Datuk Seri Najib yang amat menyedihkan ini, sepatutnya menyatukan kita dan bukan memecahkan. Isu Datuk Seri Najib adalah isu kita bersama. Saya menyeru kepada semua yang hadir dari jauh dan dekat; yang berada di dalam dewan mahupun di luar dewan, dan yang berada di dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan, kita adalah satu keluarga besar. Ibarat cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit.

“Kesatuan dan perpaduan dalaman parti perlu terus dimantapkan. Tambahan pula kita akan berhadapan pilihan raya yang akan menjadi medan untuk kita menoktahkan politik kebencian, dendam dan ugutan. Kesatuan dikalangan kita adalah untuk memastikan kita memperoleh semula mandat baharu dan mutlak daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Taklimat Bersama Presiden UMNO, di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC), di sini, hari ini.

Turut serta Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ahli UMNO pelbagai peringkat yang memenuhi Dewan Merdeka serta Dewan Tun Razak dan Dewan Tun Hussein Onn.

Ahmad Zahid yang meneruskan ucapannya turut melahirkan rasa terkilan apabila parti berkenaan dianggap gila kuasa mahupun kedudukan apabila menyebut soal pilihan raya.

“Menyebut tentang pilihan raya, saya rasa sedikit terkilan kerana banyak pihak menuduh kita gila kuasa. Malah pembangkang pun seolah-olah menolak untuk diadakan pilihan raya. Saya tidak tahu kenapa mereka menolak idea supaya diadakan pilihan raya. Cuma setelah agenda memenjarakan Datuk Seri Najib, berjaya dilaksanakan, sudah kedengaran mereka juga mahukan pilihan raya diadakan.

“Siapa yang mengatakan bahawa desakan PRU15 perlu disegerakan kerana saya takutkan sabitan hukuman terhadap saya? Ini adalah tidak benar sama sekali. Kerana apa? Kerana saya masih percaya bahawa sistem perundangan kita tidak memihak kepada sesiapa. Buat ahli-ahli UMNO dan sekalian pemerhati ingin saya tegaskan, sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan, saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba Allah yang bernama Ahmad Zahid Bin Hamidi dan dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri mereka sendiri dan takut dengan bayang-bayang mereka.

“Hakikatnya, saya membawa suara ahli-ahli UMNO yang setia. Bukan suara sumbang yang ingin menguburkan UMNO.  Biarlah saya mengingatkan kita semua termasuk pembangkang. Desakan supaya pilihan raya diadakan bukan isu yang baru. Ia bukan soal kita gilakan kuasa. Ia juga bukan soal kita gopoh, hingga ada yang menuduh sesama sendiri kononnya kita mahukan pilihan raya kerana gilakan jawatan dan gilakan kedudukan,” tambahnya.

Tambahnya lagi, desakan berkenaan sejurus kerajaan Pakatan Harapan terbubar dengan sendirinya, ekoran percaturan kuasa sesama mereka dan begitu juga apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, dengan tegas disebut, kerajaan yang dibentuk adalah bersifat sementara dan pilihan raya perlu diadakan dengan segera.

“Namun sebagaimana kita lalui, ketika itu bermulalah mainan politik kerajaan gagal 17 bulan, untuk mengelakkan diadakan pilihan raya. Setelah melalui siri-siri pengkhianatan kepada persefahaman yang dibentuk, kita akhirnya telah berjaya meletakkan, Naib Presiden parti kita menerajui kerajaan. Walau bagaimana pun kita tetap tegas dengan pendirian bahawa pilihan raya perlu diadakan segera. MKT telah memberikan panduan kepada Perdana Menteri agar pilihan raya diadakan setelah imuniti kelompok atau heard immunity dicapai. Dengan kata lain, setelah berakhirnya pandemik.

“Kita konsisten menuntut pilihan raya diadakan kerana kita menghormati mandat rakyat.  Kita mahu sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat dan bukannnya melalui percaturan politik.

“Saya sebutkan secara ringkas garis masa atau jeda waktu, apa yang berlaku kerana ingin mengingatkan semua bahawa ketika kerajaan PH terbubar, semua daripada kita, tiada yang terkecuali senada mahukan pilihan raya diadakan. Kita perlu memulangkan semula mandat kepada rakyat. Pendirian kita konsisten sejak awal lagi. Jadi janganlah ada pula suara di antara kita, yang mula menuduh kita gopoh mahukan pilihan raya. Kita tegas dalam perkara ini.”

Tegasnya, ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat Hassan sebaliknya ini suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung Khas UMNO.

“Realiti sebenar adalah fakta yang menunjukkan senario politik yang terumbang ambing telah meletakkan ekonomi negara kini dalam keadaan kian meruncing. Kestabilan dan kebajikan yang dilaungkan umpama sebuah dongengan belaka. Hakikatnya, politik yang stabil tidak akan bergantung kepada beberapa helaian kertas perjanjian semata-mata,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.