Kes Najib: Peguam Ambil Alih Kes Itu Perkara Biasa – Adnan Seman

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pengamal Undang-Undang, Datuk Adnan Seman berpendapat, sebenarnya adalah menjadi amalan biasa peguam-peguam hadir ke mahkamah bagi mengambil alih kes atas arahan klien mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap peguam Hisyam Teh Poh Teik kerana tidak bersedia menjalankan perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya berlaku.

“Kadang-kadang apabila kita ambil alih kes kerana mungkin ada masalah antara klien dan peguamnya. Klien ini datang untuk mendapatkan keadilan kerana mereka perlu diwakili oleh peguam.

“Sudah tentu, orang biasa terutamanya tertuduh ini tidak mempunyai keupayaan untuk berhadapan dengan mahkamah dan berhujah secara teknikalnya dari segi perundangan. Jadi mereka perlulah diwakili oleh peguam untuk memberi hujahan,” katanya ketika sesi ‘Wawancara Khas: Keadilan Yang Tercalar’ secara langsung di Facebook UMNO Online.

Beliau turut berpandangan bahawa mahkamah mempunyai hak untuk memberi penangguhan ataupun tidak dalam sesuatu perbicaraan tersebut.

“Kita juga harus memberi pertimbangan apabila seseorang peguam itu mengambil alih sesuatu kes, dia cuba untuk membela klien dia dan dia datang ke mahkamah dengan cubaan untuk meminta penangguhan. Bagi saya, satu permintaan yang wajar bagi seorang peguam baharu yang mengambil alih kes.

“Namun, itu terserah kepada mahkamah sama ada mereka mahu memberi penangguhan ataupun tidak. Itu adalah atas budi bicara mahkamah. Tetapi kita lihat Presiden Majlis Peguam Negara keluar kenyataan akan ambil tindakan dan ini adalah perkara-perkara yang pada saya tidak seharusnya berlaku,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Adnan turut melahirkan kebimbangan beliau terhadap pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Kalau disoal mengenai lantikan Latheefa Koya yang saya rasa memang tidak pernah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu. Kita tidak pernah lantik orang politik untuk menjaga badan penguatkuasa. Duduk dalam SPRM. Ini satu badan yang sepatutnya bebas untuk menyiasat sesiapa sahaja.

“Lebih menyedihkan kita, siasatan-siasatan yang telah pun berjalan pada ketika itu yang dilakukan kerajaan BN sebelum itu ditutup. Itu belum kita cerita tentang Peguam Negara, Tommy Thomas yang menggugurkan banyak pendakwaan termasuk pendakwaan Lim Guan Eng di mahkamah.

“Kes dah berjalan, 25 saksi telah dipanggil. Itu kes rasuah banglo yang mana fakta kesnya hampir sama dengan kes Khir Toyo. Kes itu digugurkan begitu sahaja. Itu belum lagi kita kira 15 kes lain,” katanya lagi.

Sebanyak 15 kes pendakwaan terhadap pemimpin PH telah digugurkan semasa pemerintahan mereka sehingga kerajaan digesa untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bagi menyiasat isu berkenaan berserta buku terbitannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.