Berita Fitnah Berniat Jahat, UMNO Akan Mula Tindakan Saman Ke Atas Dua Portal

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menghubungi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta berbincang dengan peguam UMNO untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan Awani hari ini berikutan laporan berita fitnah ke atas parti.

Jelasnya, selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, beliau berada dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO dari awal hingga akhir dan apa yang dilaporkan oleh kedua-dua portal berita tersebut disifatkan sebagai fitnah serta berniat jahat.

“Apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya mesyuarat memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO.

“Saya telah menghubungi YB Datuk Seri Presiden dan berbincang dengan peguam UMNO untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan Awani hari ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurut Asyraf, berita mengenai Mesyuarat Ketua-ketua Bahagian UMNO ada mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC yang dilaporkan Awani juga adalah tidak benar.

“Begitu juga kepada Awani yang turut membuat berita fitnah tempoh hari kononnya Mesyuarat Ketua-ketua Bahagian UMNO ada mendesak untuk Perdana Menteri campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC.

“Kedua-dua laporan berita fitnah ini langsung tidak bertanggungjawab dan beretika. Malaysiakini dan Awani seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.