Timbalan Ketua Bahagian Sebagai Pemangku Ketua UMNO Pekan – Wan Rosdy

KUANTAN, 25 Ogos – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly, akan menjadi ‘caretaker’ jawatan Ketua UMNO Pekan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dan denda terhadap penyandangnya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tim (Timbalan) sebagai Pemangku Ketua Bahagian,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Pengerusi Badan Perhubugan UMNO Pahang, menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Rosdy, menerusi kenyataan di media sosialnya, berkata Parlimen Pekan akan dijaga, diurus tadbir dan diberikan perhatian sewajarnya demi manfaat rakyat, selain bekas perdana menteri itu disifatkan amat berjasa kepada Pahang dan negara.

“Bagi kami, amat besar jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Najib dalam membangun dan memajukan Pahang serta negara ini sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang satu ketika dahulu.

“Justeru, kami amat menghargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah beliau curahkan selama ini, katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Pekan, Datuk Seri Ishak Muhammad, berkata Timbalan Ketua UMNO Pekan dijangka akan memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan perkara yang berbangkit daripada keputusan semalam.

“Timbalan akan lakukan dan kita akan berbincang bersama-sama. Apa-apa keputusan akan dibuat bersama-sama,” katanya ringkas.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.