Rakyat Kecewa PH Gagal Tepati Janji, Wakil Rakyat Dipilih Abai Pengundi

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim berpandangan populariti Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan golongan muda merosot pada ketika ini disebabkan kegagalan mentadbir kerajaan selama 22 bulan.

Katanya, ini termasuk manifesto yang tidak dilaksanakan khususnya melibatkan golongan itu iaitu menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan peminjam.

“Saya nampak populariti PH semakin menurun disebabkan kelemahan 22 bulan menjadi pentadbir, janji-janji banyak tidak ditepati antaranya PTPTN… katanya hendak dihapuskan hutang.

“Banyak orang muda kecewa kerana mereka merancang jika PH tunai janji secara bulanan jimat RM800 boleh digunakan untuk beli barangan keperluan lain tapi apabila tidak dapat dilaksanakan memang kecewa mereka,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Bercakap dalam konteks keseluruhan beliau berkata, sejak peralihan kerajaan berlaku ianya memberikan kesan secara langsung kepada rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut beliau sebelum ini kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering kali cakna dengan keperluan rakyat melalui pelbagai bantuan yang disalurkan.

“Bukan sekadar PTPTN banyak lagi janji lain, berbeza ketika zaman bekas Perdana Menteri, Najib Razak mereka kenang apabila tidak dapat antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), seorang dapat RM2,000 dijanjikan hendak naik RM2,500.

“Masing-masing secara keseluruhan di Kuala Selangor baik Melayu, Cina, India terkesan apabila kalah BRIM tidak dapat.

“Begitu juga cerita-cerita mengenai harta Tabung Haji (TH) dijual memang orang Melayu marah dan terkesan aset dijual tapi duit tidak masuk ke TH dengar ceritanya,” ujar beliau.

Memberi kesan kepada itu Jahaya berkata sikap Ahli Parlimen, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga antara penyebab lain kepada kekesalan rakyat terhadap PH.

Jelas beliau, ketika Kuala Selangor berhadapan dengan bencana banjir tiada bantuan yang disalurkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu termasuk juga kerajaan negeri Selangor.

“Agak sukar kerana hendak harapkan kerajaan Selangor memang tidak turun, macam Dr Dzulkefly kalau dia datang pun melenggang sahaja tidak ada yang datang bawa bantuan keperluan asas termasuk makanan, tilam, selimut, kelambu.

“Dia bukan orang tempatan jadi tidak tahu kehendak, keperluan orang di sini hanya datang majlis kahwin.

“Ini antara sedikit sebanyak saya lihat pengundi Kuala Selangor sudah tidak percaya dengan pemimpin PH terutama Ahli Parlimen,” katanya.

Dr Dzulkefly untuk rekod bertanding di Kuala Selangor sejak tiga penggal, bermula mewakili Pas dan menang pada PRU-12 sebelum kalah pada calon BN, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pada PRU-13.

Setelah lompat menyertai Amanah pada 2017, ketika gandingan parti itu bersama PH beliau sekali lagi bertanding di kawasan sama. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.