Kes Najib: Ini Bukan Campur Tangan Mahkamah

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan bahawa ini bukan campur tangan mahkamah berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas Mohd Puad, masih lagi misteri kenapa Peguam Negara tidak mahu mendakwa Hakim Nazlan walaupun kertas siasatan SPRM yang bocor kata Hakim Nazlan ada kes untuk didakwa.

“Lagi pelik, Peguam Negara kata dia belum terima kertas siasatan SPRM tersebut. SPRM patut jawab sama ada kertas yang bocor itu sahih dan sudah dihantar pada bulan Mei lagi.

“Rakyat jadi pening bila surat menyurat antara dua agensi keadilan negara itu tidak efisien. Lebih efisien order barang dari shoppe. Grab pun tidak pernah salah alamat untuk hantar makanan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelasnya yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, rakyat perlukan keberanian SPRM.

“Buat pengesahan atas dua isu itu agar Najib tidak berterusan menjadi mangsa konspirasi yang ditaja oleh Mahathir.

“Ini bukan desak campur tangan Mahkamah. Ini bukan suruh gugur kes macam Tun M buat. Isunya kenapa Nazlan tidak didakwa berdasarkan perakuan SPRM?,” katanya lagi.

Terdahulu pada 23 Ogos, panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.