Walau Terkilan, Keputusan Dihormati… Zaman PH Kes Mahkamah Pemimpin Digugurkan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Semalam keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas perdana menteri keenam Datuk Seri Najib Razak sekali gus menyaksikan gagal dalam rayuan akhir di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui sudah tentu sukar untuk menyembunyikan rasa sayu, sedih dan dukacita dengan keputusan akhir Mahkamah Persekutuan namun inilah keputusan yang telah dibuat setelah Najib melaluinya dengan penuh cekal dan hemah.

“Walaupun menghadapi pelbagai tekanan hebat sejak dari awal proses pendakwaan, beliau tidak pernah berganjak, malah tegas berkali-kali mahu membersihkan nama beliau di Mahkamah tanpa sekalipun meminta untuk kesnya dibuang atau digugurkan. Beliau hanya konsisten meminta agar mendapat peluang dibicarakan secara adil (fair trial),” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam hal ini, Dr Asyraf menekankan bahawa jauh sekali untuk dibandingkan dengan pengalaman 22 bulan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, yang menyaksikan sejumlah besar kes-kes pemimpin mereka begitu mudah digugurkan oleh bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

“Rakyat tidak akan pernah lupa bagaimana sistem keadilan dirobek dan diperkotak-katik melalui amalan pendakwaan politik terpilih dan campur tangan jelas dalam sistem kehakiman seperti pengguguran kes rasuah banglo Lim Guan Eng, jenayah fitnah Rafizi terhadap Tabung Haji, penglibatan ADUN Dap yang terlibat dalam pengganas LTTE, kes penipuan & hasutan pemimpin PH yang telah didakwa, semuanya digugurkan walaupun Mahkamah sudah mula bersidang.

“Ya, kita menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, walaupun tetap rasa terkilan kerana ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

“Buat keluarga Datuk Seri Najib, bertabahlah, bersabarlah dengan dugaan yang menimpa hari ini. Kita mungkin kalah dan merasakan keadilan tidak memihak kepada kita hari ini, namun percayalah ada Mahkamah yang lebih besar di hadapan Allah nanti.”

Apa yang penting katanya, perjuangan mesti diteruskan sebagaimana amanat terakhir Najib kepada semua demi kemaslahatan rakyat dan tanah air yang tercinta. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.