UMNO/BN Perlu Terus Manfaat Media Sosial, Jawab Segala Tohmahan Lawan – Helmy

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial dan mempertahankan kepimpinan parti yang berterusan menerima tohmahan daripada pihak lawan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Katanya UMNO/BN perlu mengaplikasi perkembangan media sosial untuk berperanan sebagai pembela parti dan rakyat bagi menangani pelbagai isu ketika ini.

“Pada waktu ini UMNO/BN telah menggunakan dan memanfaatkan segala media sosial untuk menjawab segala tohmahan, persepsi yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutama sekali pembangkang.

“Hari ini maklumat, makluman dan segala data secara formal kurang memberi tarikan kepada masyarakat akan tetapi masyarakat lebih gemar melihat segala yang berbentuk hiburan,” jelasnya.

Tambah Helmy, walaupun UMNO/BN kerap dijadikan sasaran dan tuduhan dari pihak pembangkang namun pendekatannya kali ini berbeza dengan memberikan pelbagai fakta untuk menjawab isu-isu yang ditular. 

“Serangan-serangan berbentuk fitnah dan dakyah lebih mendapat perhatian kerana ianya berbentuk hiburan, sindir dan senda gurauan.

“Kerana itu UMNO/BN perlu menjawab fitnah atau berita palsu yang berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan membiarkan ia menjadi persepsi yang buruk.

“Malah media sosial pada hari ini turut berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti. Ia lebih menjurus menjana persepsi yang tidak baik sekiranya persepsi buruk dari pembangkang dikongsi banyak kali oleh netizen,” jelas beliau.

Seterusnya Helmy berharap agar UMNO/BN dapat menawarkan satu solusi yang berbeza walaupun ianya berfakta.

“UMNO mesti ada satu pendekatan yang berbeza dalam media sosial walaupun terdapat fakta untuk memenangi hati rakyat namun ianya harus ada ‘check and balance’,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.