Rayuan Kes SRC: Najib Mahu Ketua Hakim Negara Tarik Diri

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengemukakan permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan permohonan supaya hakim nombor satu negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut lewat malam tadi.

Beliau berkata salinan permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram kemudian bangun dan berkata pihak pendakwaan belum menerima salinan permohonan yang sudah dimeteri, oleh itu sehingga ia diserahkan prosiding permohonan menarik diri itu tidak boleh dijalankan.

Tengku Maimun menyoal Hisyam sama ada pihak pembelaan ingin berhujah berhubung rayuan utama.

Hisyam menjawab: “Tidak”.

Bagaimanapun, Hisyam berkata beliau ingin membalas hujah Sithambaram mengenai isu sama ada mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pembelaan.

Tengku Maimun kemudian mengarahkan peguam itu agar menjawab hujah Sithambaram terlebih dahulu.

Namun Hisyam menggesa permohonan agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut didengar terlebih dahulu.

“Kamu sepatutnya berhujah mengenai enam autoriti yang digunakan oleh pihak pendakwaan bahawa mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pihak pembelaan,” kata Tengku Maimun.

Pada peringkat ini, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mencelah dan berkata panel itu mahu mendengar hujahan balas pihak pembelaan terlebih dahulu.

“Kita di sini bukan untuk membuang masa,” kata Tengku Maimun yang kemudian meminta kakitangan mahkamah mendapatkan dokumen berkaitan berhubung permohonan agar beliau menarik diri.

Mahkamah kemudian berehat sebentar.

Menerusi usul itu, Najib memohon agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar atau memutuskan rayuan terakhir beliau dan satu panel baharu mendengar rayuannya.

Afidavit sokongan Najib mendakwa terdapat hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh seorang individu bernama Zamani Ibrahim pada 11 Mei 2018.

Hantaran itu antara lain menyebut tentang Najib yang telah ‘ditumbangkan’ pada PRU14.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa individu bernama Zamani Ibrahim adalah suami kepada Ketua Hakim Negara yang mengetuai panel hakim yang mendengar rayuan terakhir saya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan,” menurutnya dalam afidavit itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.