Gerak Kerja Satu Pasukan, Tekad Penting BN Depani PRU15 – Dr Zambry

IPOH, 23 Ogos – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyeru agar ahli parti menjaga perpaduan dengan tekad gerak kerja satu pasukan bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana gerak kerja sebagai satu pasukan memainkan peranan penting dalam usaha untuk memberi kemenangan sama ada di Persekutuan dan negeri khususnya bagi Negeri Perak.

“Paling mustahak bangunkan solidariti, perpaduan bergerak sebagai satu pasukan dan siapa pun yang akan wakili kita dalam PRU-15 maka itulah yang akan mewakili BN.

“Kita berada dalam ‘mood’ hadapi PRU dan ini merupakan rahsia terbuka sama ada suka atau tidak sudah jadi tradisi bahawa sebelum tempoh setidaknya setahun kita sudah buat persiapan awal apatah lagi sekarang.

“Mungkin tahun ini atau penghujung tak sampai setahun nak siap sedia hadapi saat penting ini pastikan peristiwa berlaku di Perak ketika PRU-14 tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Jentera PRU-15 BN Negeri Perak yang berlangsung di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta kepimpinan lain.

Beliau juga pada masa sama meluahkan keyakinan untuk BN Perak merampas kembali lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas pada PRU-14 lalu.

“Saya yakin lima kerusi yang tidak sepatutnya tewas kita akan dapat kembali, bayangkan kerusi kalah hanya 39, 140, 160, 289 dan 419 undi.

“Ini hakikatnya kalau dapat bangunkan semangat, saya yakin dengan kekuatan jentera serta pengalaman Pengerusi negeri yang selama ini jadi jeneral kita maka tentunya obor perjuangan ini kita mampu teruskan,” ujar beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.