Dapatan Audit Forensik Isu LCS Buktikan Rafizi Memang Raja Fitnah – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Dapatan audit forensik daripada laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan isu kapal tempur pesisir (LCS) membuktikan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memang raja fitnah.

Demikian tempelak Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki setelah membaca dan meneliti keseluruhan 104 muka surat Laporan Siasatan Audit Forensik mengenai Isu Kapal LCS yang dinyah-klasifikasikan dan mula dimuat naik di laman PAC Parlimen lepas Maghrib semalam. (Rujuk https://www.parlimen.gov.my/pac/publication-details.html…)

Ujar Dr Asyraf, merujuk kepada laporan tersebut, antara lain dapatan audit forensik yang dibuat membuktikan bahawa tiada campur tangan Menteri Pertahanan.

“Tidak ada sebarang campur tangan Menteri Pertahanan (sama ada zaman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dalam menentukan pembayaran yang dibuat kepada syarikat-syarikat yang disebutkan dalam laporan sebagaimana andaian dan fitnah yang cuba dimainkan oleh Rafizi dan pembangkang.

“Kesemua kebocoran dan salah guna kuasa yang berlaku adalah berpunca kerana kelemahan tadbir urus (corporate governance failure).

“Antara contoh jelas kelemahan tadbir urus hingga memungkinkan berlakunya ketirisan dan salah laku ialah apabila jawatankuasa pemandu LCS yang dianggotai oleh orang yang sama (terutamanya bekas Panglima Angkatan Tentera Laut Laksamana (B) Tan Sri Ahmad Ramli Nor & Kapten Anuar Murad) yang duduk di pengurusan tertinggi, jawatankuasa tender, lembaga pengarah. Nama mereka disebut berulang kali di banyak bahagian dalam laporan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Dr Asyraf lagi, antara perkara asas dalam kelemahan tadbir urus korporat ialah bagaimana boleh terjadi individu yang sama boleh berada dalam semua jawatankuasa yang membuat tawaran tender (call for tender).

“Individu yang sama juga membuat penilaian, membuat keputusan dan memutuskan berkenaan pemberian tender. Dalam istilah tadbir urus dipanggil konflik berkepentingan,” katanya.

Justeru tegasnya, tidak benarlah sama sekali segala andaian jahat dan fitnah yang cuba dimainkan dan dimanipulasi oleh Rafizi yang cuba mewarnakan pemikiran dan memainkan persepsi rakyat kononnya isu Kapal LCS terkait dengan pemimpin UMNO.

“Ini termasuklah juga kononnya hanya ‘ikan bilis’ yang didakwa manakala ‘ikan jerung’ terlepas; sedangkan tiada langsung dalam mana-mana bahagian dalam laporan setebal 104 muka surat mengaitkan Menteri UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, dalam komen di statusnya itu, Dr Asyraf juga menyeru masyarakat membaca laporan penuh sebagaimana yang telah dipaparkan di laman web Parlimen (pautan).

“Harap semua boleh baca laporan penuh di pautan di bawah. Jangan membiasakan dan membudayakan baca tajuk atau kesimpulan yang dibuat orang lain,” serunya. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.