Mitos Politik Parlimen Tergantung Untuk Halang PRU – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan janganlah menggunakan alasan takut parlimen tergantung bagi menghalangi Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Ini kerana katanya Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersohor, Dr Wong Chin Huat telah memberikan pencerahan mengenai isu parlimen tergantung dan tiada apa-apa yang perlu ditakutkan atau dibimbangkan sekiranya berlaku hung parliament ataupun parlimen tergantung.

Jelasnya, perkara ini diterangkan oleh profesor terbabit dalam ‘Simposium Keluarga Malaysia’ yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

“Baru-baru ini Profesor Sains Politik dan Demokrasi tersohor, Dr Wong Chin Huat memberikan pencerahan mengenai isu parlimen tergantung. Menariknya, beliau menyampaikannya dalam Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri semalam.

“Beliau menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung parliament atau parlimen tergantung,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keadaan tersebut bukanlah satu situasi yang teruk seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

“Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu malah ianya tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau menjejaskan ekonomi. Sebaliknya, kita perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik.

“Pencerahan beliau mampu untuk memberikan penjelasan serta membuka hati pemahaman mitos politik semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.