BN Mesti Menang PRU15, Bangkit Kembali Tadbir Negara Dalam Satu Suara – Mohamad

AYER KEROH, 22 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan bahawa BN mesti menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan kembali bangkit bagi mentadbir negara.

Sehubungan itu katanya, apa jua masalah dan kekangan serta isu-isu mesti diselesaikan untuk pastikan parti memasuki pilihan raya dengan mempunyai satu suara dan satu angkatan iaitu BN yang mahu menawarkan semula khidmat bakti untuk negara.

“Kita mesti menang pada PRU-15, kalau tak menang PRU ini amat susah untuk kita bangun semula mentadbir negara. Apa jua masalah dan kekangan serta isu-isu mesti diselesaikan untuk satu angkatan BN bagi menawarkan semula khidmat bakti kepada rakyat.

“Mesti ada kepercayaan diri sendiri iaitu kita mesti ada ‘winning mentality’ dan itu sangat penting. Kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa BN merupakan parti yang seharus dan semestinya diberikan kepercayaan semula untuk mentadbir negara,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata rakyat sekarang ini sudah memberi kepercayaan kepada BN setelah melalui pengalaman dalam kerajaan terdahulu.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, rakyat beri kepercayaan pada BN kerana telah melihat tiga jenis kerajaan yang telah dilalui dan tidak nampak ada kerajaan lain melainkan kerajaan BN yang boleh berikan kestabilan kepada negara.

“Negara perlukan kestabilan politik dan perlukan kerajaan yang mantap. Negara dan negeri memerlukan kerajaan yang boleh menstabilkan keadaan.

“Saya nak lihat pasukan BN sebagai satu pasukan bersepadu dan harap komponen BN dan ‘Friends of BN’ bersama-sama sebagai satu pasukan menghadapi PRU-15,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menekankan pentingnya Melaka untuk menyumbang kerusi dalam PRU-15 akan datang.

Ini kerana katanya kemenangan yang dicapai oleh BN Melaka pada PRN dapat melihat sejauh mana kekuatan BN menjelang PRU-15.

“Siapa sangka Melaka boleh menang 21 kerusi tetapi lihat di mana kelemahan dan kekuatan kita. Melaka mesti berupaya memberikan lima kerusi Parlimen supaya boleh menubuhkan kerajaan BN dan merampas semula Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Jentera Pilihan Raya BN Negeri Melaka di MITC Ayer Keroh, Ahad.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; pemimpin komponen, Friends of BN serta jentera-jentera BN Melaka.

Mengulas persiapan jentera BN di Melaka, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata negeri itu mencatat markah lapan daripada sepuluh, satu pencapaian baik dan ini mungkin menurutnya ekoran negeri itu baharu selesai menghadapi PRN dan masih mempunyai jentera yang mantap. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.