Selepas 32 Tahun, Ini Masanya Rakyat Kelantan Buat Perubahan – Shahril

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berharap rakyat di Kelantan untuk memberi ruang dan peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Katanya, parti ini semestinya akan fokus kepada agenda melaksanakan pembangunan terbaik yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri Darul Naim itu.

Shahril berkata demikian menerusi hantaran di Facebook ketika merasmikan Himpunan Anak Muda Rantau Panjang dan Tumpat di Pantai Geting, Tumpat semalam.

“Selepas 32 tahun, ini adalah masanya untuk Kelantan membuat perubahan. Beri peluang kepada BN membawa pembangunan dan pelaburan, menjana pekerjaan, dan menyelesaikan isu-isu di negeri Kelantan Darul Naim.

“Himpunan ini menyaksikan lebih 700 anak muda yang bersama berkonvoi motor daripada Rantau Panjang ke Tumpat bersempena dengan bulan Kemerdekaan,” katanya

Menerusi hantaran berbeza beliau turut memaklumkan berkunjung ke Kubang Kerian bagi menyertai aktiviti mengacau bubur asyura untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Bersama UMNO Bahagian Kubang Kerian dalam program mengacau bubur asyura atau ’Kuca Suro’ yang diagihkan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh dan dijalankan serentak di DUN-DUN lain dalam Parlimen Kubang Kerian.

“Bubur Asyura ni mengambil masa sedikit untuk siap. Rempah dia sahaja mengambil hampir lima jam untuk masak sebelum dicampurkan ke dalam bubur,” ujar beliau. – UMNO Online