Koperasi Digalak Jalankan Pertanian Bandar Khususnya Di Tanah Terbiar – Noh

SHAH ALAM, 21 Ogos – Koperasi digalak menjalankan pertanian bandar terutama di tanah terbiar sebagai satu daripada cara menjana pendapatan tambahan di samping meningkatkan taraf hidup peserta khususnya golongan B40.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata konsep pertanian bandar juga selaras dengan keputusan Kabinet yang meluluskan tanah terbiar dalam sesebuah kawasan untuk dijalankan pertanian yang bersifat bukan kekal bagi menjana pendapatan komuniti setempat.

“Dengan adanya konsep pertanian bandar ini menerusi koperasi, secara tidak langsung membantu memperbanyakkan keluaran hasil agromakanan.

“Usaha mewujudkan koperasi yang menjalankan pertanian bandar juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperuntukkan RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan negara di samping jihad kerajaan memerangi orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kebun Koperasi Keluarga Malaysia dan Kobuniti Agro Park sempena siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor di sini hari ini.

Noh berkata setakat ini terdapat 3,262 koperasi seluruh negara berasaskan sektor pertanian dan industri asas tani dengan 10 peratus daripadanya menjalankan pertanian bandar.

Terdahulu Noh turut melancarkan Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI) di Seksyen U12 Cahaya Alam di sini yang berkonsepkan model kebun komuniti dikenali Plot Kebun Keluarga Malaysia (PKKM).

KOBUNITI seluas 6.07 hektar itu menyediakan tapak tanaman kontan bagi golongan asnaf dan B40 serta penduduk komuniti setempat mengusahakan pertanian untuk tujuan hobi atau menjana pendapatan. – BERNAMA