Segerakan Atau UMNO/BN Akan Tewas PRU – Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin inilah waktu terbaik untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Katanya, ini kerana UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum bubar Parlimen untuk menyerang Barisan Nasional (BN).

“Ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk mengugat keyakinan akar umbi UMNO BN.

“Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh. Dengan kata lain, mereka serang, spin dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah terbaik walaupun Pakatan Harapan (PH) berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya hingga Perdana Menteri mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto tak dapat ditunaikan.

Jelas Pengerusi BN, apabila melengahkan PRU ini seakan memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang.

Menurut Ahmad Zahid disebabkan itu pada ketika ini, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar Parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya.

“Kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri PH terpaksa mengakui bahawa pendirian UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

“Berdasarkan temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia.

Dalam pada itu kata Ahmad Zahid, UMNO sudah membuat pendirian tersebut sudah lama pun namun ini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti UMNO.

“Segerakanlah atau UMNO/BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.