UMNO/BN Punya Kredibiliti Tersendiri, Keluarga Malaysia Lakaran Keharmonian – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan genap setahun UMNO/Barisan Nasional (BN) yang diterajui Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri mentadbir ternyata mempamerkan keupayaan menerajui negara.

Katanya, kepimpinan dari UMNO/BN melalui Ismail Sabri berjaya menstabilkan kerajaan, mengharmonikan rakyat jelata terutama sekali dalam pendekatan gagasan Keluarga Malaysia yang dibawa beliau.

“Keluarga Malaysia ini perlu berterusan untuk melahirkan semangat rakyat Malaysia yang bersyukur dan beranggapan bahawa negara ini adalah sebuah keluarga besar tempat duduk kita, cari makan malah akan mati juga di sini.

“Lakaran, wawasannya mencerminkan kewibawaan UMNO/BN malah menjadikan masyarakat Malaysia yang majmuk ini terdiri daripada ras, suku, bangsa, berbilang agama hidup dalam aman harmoni dan kita boleh bekerjasama di antara satu sama lain.

“Paling mustahak idea melahirkan Keluarga Malaysia ini adalah wajah Malaysia, apa wajahnya? Ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan orang-orang lain yang duduk di sini inilah pemimpin yang sebenarnya untuk Malaysia baharu menuju negara progresif, hebat bagi mencapai cita-cita hasrat negara kita,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.

Beliau juga berkata ternyata kepimpinan teraju dari UMNO/BN bijak dalam menangani pelbagai cabaran termasuk penularan pandemik COVID-19, kemelut ekonomi global serta konflik politik negara.

Jelas Dr Azhar, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu cakna dan mengatasi satu demi satu kekangan dengan merangka pelbagai strategi bagi memastikan negara tidak berhadapan dengan krisis yang juga akan memberikan impak kepada rakyat.

“Saya melihat melalui UMNO/BN inilah kerajaan berjaya menempuhi semua halangan-halangan itu yang ada segmen politik, ekonomi, antarabangsa namun nampaknya beliau atasi secara bijaksana. Inflasi negara masih terkawal berbanding dengan negara lain, subsidi kepada rakyat hampir RM80 bilion, harga barang terkawal.

“Dalam politik ketika ada 41 Ahli Parlimen yang sokong kita tapi beliau berjaya membawa semua untuk menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) yang sihat untuk rakyat Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Walaupun ketika dahulu kita dominan, memerintah secara solo tetapi kita tak mampu untuk mengadakan MoU dengan pembangkang untuk transform beberapa akta dalam Parlimen walaupun orang kata tidak kuat, lemah.

“Kejayaan Akta Anti Lompat Parti yang tidak pernah berlaku tapi dalam kita tidak kuat ini beliau berjaya merangkumkan semua Ahli Parlimen kecuali 11 ke sembilan yang tidak bersetuju untuk menandatangani jadi akta tersebut,” ujar beliau.

Dalam pada masa yang sama beliau berkata, pentadbiran cemerlang Ismail ini ternyata memberikan impak tersendiri kepada UMNO kerana sebagai Naib Presiden parti beliau menjadi sosok penting dalam membawa agenda aspirasi rakyat.

“Tentulah secara automatik imej parti meningkat kerana yang menjadi Perdana Menteri itu adalah orang parti tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Sebagai ahli parti, kepimpinan di semua peringkat kalau sudah Perdana Menteri dari UMNO, kita harus menyokong sebulat suara yang tidak betul dibetulkan dalam keluarga kita bukan menghentam dalam sosial media.

“Jadi automatiknya pentadbiran terbaik ini adalah manfaat kepada UMNO/BN dan tentulah kita amat bersetuju dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi bahawa Ismail Sabri akan menjadi posterboy pada Pilihan Raya Umum akan datang, semoga beliau teruskan kecemerlangan ini kita akan terus membantu,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.