Menang Selesa PRN Jangan Ambil Mudah PRU, Pesan Tok Mat

JOHOR BAHRU, 19 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan jentera parti di Johor agar tidak selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Ini kerana menurut beliau suasana serta keadaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) amat berbeza dengan senario PRN setelah masing-masing akan berdepan secara bersendirian di setiap kawasan seluruh negara.

“Jangan rasa selesa menang 40 kerusi pada PRN yang lalu. Dalam PRN seluruh negara membantu manakala dalam PRU kita bersendirian. Apa pun jangan selesa… menang di Melaka dan Johor.

“Alhamdulillah daripada pagi semalam kita bertemu dengan pimpinan bahagian, saya boleh katakan kalau dari segi kesiapsiagaan dari sudut kajian sikap dah siap… dan kesiapsiagaan kalau 1 hingga 10 boleh dikatakan diperingkat 8 untuk negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera BN Johor, di sini petang tadi.

Turut serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; pimpinan MIC serta pimpinan BN pusat serta negeri.

26 pimpinan UMNO bahagian di Negeri Johor semalam mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan pusat yang diketuai Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut bersama ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad serta pimpinan negeri yang lain.

Dalam pada itu Mohamad menegaskan melihat kepada kesiapsiagaan itulah tidak mustahil sasaran BN untuk menang 20 kawasan parlimen di Johor akan menjadi kenyataan dan mungkin akan meningkat.

“Itu sebab saya katakan kita mahu 20 kerusi parlimen dan tidak mustahil dalam pilihan raya umum nanti. Kita bukannya tidak pernah menang… sebelum ini pernah menang 25 parlimen dan kemudiannya 21 serta pada PRU yang lalu kita menang 9 parlimen.

“Asalkan kita bersepakat dan apabila dinamakan calon nanti itulah calon BN dan semua rakan dalam BN bekerja dalam satu pasukan untuk dapat 20 kerusi… kita boleh lebih lagi dan kita mulakan dengan 20, kita olah baik-baik untuk PRU nanti,” ujarnya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya menegaskan pilihan raya banyak dipengaruhi oleh persepsi dan seharusnya soal berkenaan perlu diuruskan sebaik mungkin.

“Pilihan raya banyak dipengaruhi oleh persepsi maka urus persepsi dengan baik-baik.Kita tidak tahu apa lagi persepsi akan keluar selepas ini. Kepada jentera teruskan bersemangat dan kita ambil maklum sesi libat urus sepanjang dua hari sehingga hari ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.