Jangan Tindas ‘Rider’ Penghantar, Kebajikan Perlu Diutamakan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Isu Pembayaran Pendapatan Perkhidmatan Penghantaran Pesanan yang masih belum diterima oleh Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing Syarikat Penyedia Perkhidmatan Foodpanda (M) Sdn. Bhd. tidak sepatutnya berlaku.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihak syarikat penyedia seharusnya lebih peka tentang isu ini lebih-lebih lagi ia melibatkan soal kebajikan dan pendapatan mereka.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menerima banyak aduan daripada Rakan-Rakan Penghantar P-Hailing Syarikat Penyedia Perkhidmatan Foodpanda (M) Sdn. Bhd. berkaitan isu Pembayaran Pendapatan Perkhidmatan Penghantaran Pesanan yang masih belum diterima oleh mereka dari pihak syarikat penyedia.

“Selain itu, antara aduan yang kami terima lebih daripada 40 orang riders dan mungkin ramai lagi di luar sana yang masih belum lagi menerima Bonus Pesanan yang dijanjikan oleh pihak syarikat penyedia semenjak bulan Julai 2022,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Asyraf berpendapat, pihak syarikat penyedia seharusnya mengambil langkah awal dengan memberi maklum balas kepada Rakan Penghantar P-Hailing seandainya ada masalah yang berlaku.

“Seandainya ada masalah yang berlaku, pihak syarikat penyedia seharusnya mengambil langkah awal dengan memberi maklum balas kepada Rakan Penghantar P-Hailing.

“Pemuda UMNO dan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) akan ke Pejabat Operasi Syarikat Penyedia Perkhidmatan Foodpanda (M) Sdn Bhd. pada 19 Ogos 2022 (Jumaat) bagi mendapatkan penjelasan dari pihak pengurusan berkaitan isu ini dan mendesak syarikat penyedia supaya isu ini diselesaikan dengan kadar segera,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi membendung masalah ini daripada berlarutan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga akan memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM) agar membuat siasatan kepada syarikat penyedia bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.