Najib Wajar Diberikan Ruang, Hak Untuk Pertahankan Diri – Wan Rosdy

 

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar diberikan ruang serta hak untuk mempertahankan dirinya dalam dakwaan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpandangan, bukti-bukti tambahan yang ingin dikemukakan tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja semata-mata atas alasan teknikal.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berasa amat sedih dan bersimpati ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan beliau untuk mengemukakan bukti-bukti tambahan.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan bahawa beliau wajar diberikan ruang, peluang serta hak yang sepatutnya untuk mempertahanankan diri dalam kes ini. Bukti-bukti tambahan tersebut tidak harus diketepikan begitu sahaja semata-mata atas alasan teknikal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurut Wan Rosdy, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yakin bahawa Institusi Kehakiman adil dalam menegakkan kebenaran tanpa dipengaruhi sebarang konflik kepentingan serta turut mendoakan Najib dikurniakan ketabahan.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berkeyakinan penuh bahawa Institusi Kehakiman akan melaksanakan fungsi dan peranan yang telah termaktub dengan sebaik-baiknya demi menegakkan keadilan dan kebenaran tanpa terpengaruh dengan sebarang konflik kepentingan.

“Kami mendoakan semoga Datuk Seri Najib dikurniakan ketabahan, kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi detik-detik sukar ini dan terus cekal meneruskan perjuangan bagi mendapatkan keadilan,” katanya lagi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada Khamis.

Pada Isnin dan Selasa lalu panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan berkaitan kes tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.