Terima Kasih Pas Kedah…Tetapi ‘Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin’ – Shaiful

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menjawab secara sinis ‘pelawaan’ Pas Kedah dengan megumpamakannya ‘pinggan tak retak, nasi tak dingin’.

Menjelaskan lebih lanjut menerusi kenyataan kepada UMNO-Online hari ini, beliau berkata itulah cara orang lama dulu-dulu berbahasa dalam menolak dan mengetepikan sebarang sangkaan bahawa kita terkinja-kinja berkehendakkan orang.

“Dalam dunia ini, memang wujud pihak-pihak yang merasakan mereka terlalu elok, terlalu besar, terlalu dimahukan sehingga menganggap semua orang mahu bersama mereka. Saya ingin menggunakan ungkapan yang sama untuk menjawab ‘pelawaan’ Pas Kedah agar UMNO ‘menumpang’ kekuatan parti tersebut dalam PRU akan datang.

“Terima kasih, tetapi kami tidak berminat. Kami tidak mahu ‘berkasih sayang’ hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai. Itu tidak ikhlas namanya. Penolakan ini bukan kerana kita sombong dan tidak sukakan penyatuan. Tetapi, asasnya jelas dan konsisten,” katanya.

Katanya lagi pertama, penyatuan haruslah atas niat serta sebab yang baik dan bukan semata-mata kerana hendak kekal berkuasa atau mahukan lebih banyak kerusi.

“UMNO ini parti politik. Ada pengalaman memerintah. Jadi, saya tidak akan berdolak dalih atau segan silu mengakui, kami memang berhajat untuk kembali berkuasa dan memerintah. Parti politik mana yang tidak mahukan itu?

“Tetapi, kami masih ada prinsip. Janganlah kita ini berpakat hanya kerana kuasa. Janganlah kita ini berpeluk dan berdakap hanya apabila tiba musim pilihan raya. Di mana nilai perjuangan dan pendirian? Di mana contoh teladan yang baik kepada rakyat?

“UMNO Kedah tidak rasa itu cara yang betul. Jika kita hendak berbaik-baik dan menyatukan kekuatan, lakukanlah kerana rakyat. Lakukan dengan konsisten dan bukan bermusim. Ini tidak. Dalam PRN Melaka, mahu bersendiri. Lepas tersungkur, kembali menyatakan kesediaan bekerjasama. Kemudian dalam PRN Johor, kembali solo. Lepas tetomoih, sekali lagi membuka mulut mengajak kepada kebersamaan,” ujarnya.

Ujar beliau lagi sepanjang tahun di Kedah, UMNO dikecam, dipersalahkan dengan pelbagai perkara malah UMNO juga ditohmah begitu dan begini, namun menjelang PRU, tiba-tiba parti diajak kembali bekerjasama dan bukan sahaja rakyat serta UMNO keliru, penyokong Pas juga diyakini sendiri kelu dan keliru.

Kedua tegas Shaifol, UMNO Kedah mahu dinilai dan dipilih kerana keupayaan dan kesungguhan kerana sedar UMNO bukan parti yang sempurna.

“Banyak kekurangan dan kelemahan kita. UMNO berdepan cabaran besar untuk memulihkan diri dan membuat tawaran baharu yang segar dan meyakinkan. Tetapi, UMNO juga percaya, kami bukan ‘lost cause’. UMNO ada kekuatan dan kelebihan tersendiri.  Kalau rakyat yakin, mereka akan pilih. Kalau rakyat rasa kita belum kuat dan belum bersedia lalu mereka menolak kita, UMNO akan terima dengan terbuka. Ini gelanggang demokrasi, rakyat bukan sahaja pengadil, malah penyokong, penaja, penganjur. Tugas parti politik adalah menawarkan yang terbaik. Bukan berpura-pura untuk berbaik-baik.

“Ketiga, UMNO tidak mahu ‘merosakkan’ Pas. Menteri Besar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya Pas sudah membuat penegasan. Pas kuat di Kedah. Kita tahu, Pas adalah parti yang baik, dipenuhi ulama dan golongan terpelajar. Semua pintar, semuanya hebat. Jadi, sebagai ‘itik patah kaki’, ‘harimau kena tembak’ dan segala jenis lagi gelaran dan panggilan Pas kepada UMNO, UMNO percaya kita bukan rakan kongsi yang baik dan secocok kepada Pas yang hebat. Tanpa UMNO pun, bukankah Pas sudah mengisytiharkan kemenangan 22 kerusi? Jadi, kami kalungkan ucapan tahniah dan selamat bekerja kami ucapkan,” katanya.

Seterusnya beliau menambah, yang pasti, UMNO akan turun ke medan PRU dengan semangat, iltizam dan perancangan masa depan yang baik untuk Kedah malah mempunyai pelan dan tawaran untuk membangunkan negeri ini dengan selayaknya.

“Kami tidak menganggap Kedah medan eksperimen. Kedah mempunyai potensi yang besar, menjangkaui idea sekadar menjadi pengeksport ketum. Biar apa pun, terima kasih kepada Pas kerana menganggap UMNO rakan kerjasama yang layak diajak berganding tangan dalam PRU akan datang. Tetapi, seperti yang saya sebutkan tadi…pinggan tak retak, nasi tak dingin,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.