BN Perlu Kembali Tadbir Negara, Sambung Pembangunan Tertangguh – Noorazli

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said berpandangan negara perlu kembali berada di landasan yang sebenar selepas melalui pelbagai cabaran terutama kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Jelas beliau, ini kerana BN telah membawa negara ke arah pembangunan terbaik untuk turut disertai oleh rakyat.

“Jadi pastikan letak orang yang betul di tempat yang betul, cukup-cukuplah, kali ini bagi kepada BN agar kita dapat menyambung kembali apa yang tertangguh selama ini.

“Pastikan negara tidak tertinggal atau tidak lagi menjadi negara yang dipandang remeh terutamanya di rantau Asia ini, apatah lagi kita kena menjadi Harimau Asia setelah kita pernah dikagumi dalam ekonomi sebelum ini,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Jelas beliau, rakyat perlu mengambil iktibar di sebalik kemenangan Pakatan Harapan (PH) kerana ia merisikokan negara yang ditadbir oleh pemimpin tidak kompetan dalam melaksanakan kerja-kerja tadbir urus.

Katanya di sebalik permainan emosi dilemparkan PH suatu ketika dahulu, rakyat perlu rasional dalam membuat pilihan kerana negara ini bukan sebuah bahan untuk dilakukan uji kaji malah kerajaan perlu membina sebuah tanah air yang merdeka dan memperoleh kemakmuran kerana ia tidak semudah yang disangka.

“Saya hendak beritahu kepada masyarakat hari ini, kita telah melalui fasa-fasa iaitu BN menjadi kerajaan selama 60 tahun, PH 22 bulan, Perikatan Nasional (PN) 17 bulan dan hari ini BN plus.

“Kita telah melalui pelbagai fasa dan tahu bahawa PRU ke-14 ini macam-macam musibah. Sebelum itu negara mempunyai ekonomi yang pesat membangun, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) baik, inflasi tidak tinggi, orang ada pekerjaan tetapi masuk sahaja pilihan raya seolah-oleh bertukar.

“Hari ini kita digambarkan ketinggalan dengan negara jiran, Indonesia… jadi bagi saya pengalaman ini sepatutnya mengajar bahawa PRU ini bukan suatu permainan percubaan, diuji kaji, dicuba dan sebagainya… harus memilih berdasarkan logik pemikiran bukan sekadar janji manifesto yang kononnya nampak semacam bagus tetapi di akhirnya ianya tidak menjadi kenyataan,” ujar beliau.

Menurut beliau, BN sebagai parti berpengalaman mentadbir negara sudah tentunya mengetahui perkara terbaik berbeza dengan pendekatan populis yang dilakukan PH apabila menawarkan pelbagai janji tidak relevan namun ianya ternyata gagal dilaksanakan.

Noorazli menambah, BN tidak mengambil langkah popular kerana untuk membuat keputusan seperti menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menurunkan harga minyak adalah suatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita tahu sebab duduk di dalam kerajaan, tahu kekangan kewangan untuk uruskan negara jadi disebabkan ini tidak boleh memberikan sesuatu yang popular kepada rakyat.

“PH pada waktu itu yang menjanjikan segalanya kerana bagi pandangan mereka menguruskan negara seolah-oleh urus sebuah keluarga yang kecil, mereka tidak tahu tapi beranggapan semuanya boleh dilakukan bila sudah ada kuasa.

“Namun ternyata selepas 22 bulan mereka memerintah kita dapat merasakan bahawa kesengsaraan yang dihadapi rakyat yang kita cakap sebelum ini adalah benar,” tegas beliau.

Beliau pada masa sama turut menyeru kepada seluruh rakyat terutama pengundi pertama kali pada PRU-14 yang mengundi PH untuk kembali menyokong BN.

“Kita bentuk kembali sebuah kerajaan yang kuat agar dapat menikmati perancangan yang telah dibuat selama ini dan tertangguh agar dapat mengembalikan negara ini menjadi sebuah negara yang dihormati dan disegani.

“Paling penting rakyat kita pada kali ini boleh berbangga dengan negara kita jadi cukuplah kita masuk di dalam lubang yang dalam dan hari ini kita telah merangkak keluar, maka jangan kita jatuh sekali lagi ke dalam lubang yang sama.

“Sebab jika ini berlaku saya kira untuk kembali pulih adalah amat sukar sebab PH ini tidak punya trek rekod memerintah,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.