LCS: Ketika Jadi Kerajaan Kenapa PH Tak Pecat Pengurusan Lambat Buat Kapal?

SEPUTEH, 14 Ogos – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan tidak cakna dengan isu membabitkan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Katanya, sebagai kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat mereka perlu memperhalusi sebaiknya pengurusan pembinaan kapal ini sekiranya wujudnya ketidakcekapan dalam pelaksanaannya.

“Saya hendak beritahu isu ini membabitkan pentadbiran yang melaksanakan projek dan mereka perlu dipertanggungjawabkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) hendak bangunkan industri kapal kemudian bagi kontrak kepada syarikat milik kerajaan (GLC) Boustead, waktu BN dulu bagi dia kata baru hendak mula 2014 hingga 2016 untuk bangunkan industri ini… kemudian kita kalah 2018.

“Jadi jika BN tidak cekap untuk kendalikan projek ini kenapa PH waktu ambil alih dia tidak baiki malah dia buat benda yang sama rasmi sana sini… ini soal pentadbiran kalau ada salah laku perlu diambil tindakan sebagai parti yang diberi mandat.

“LCS ini kalau dia tahu lambat dah ada macam-macam ‘report’ kenapa tak buat tindakan? Saya tak pernah dengar masa kita kalah PH pecat mereka yang kendali LCS ini.”

Bidasnya, PH sendiri perlu telus dan bertanggungjawab.

“Saya tak menyokong mana-mana kakitangan kerajaan atau GLC yang diberi amanah oleh kerajaan untuk mengendalikan industri ini tapi dia tak jalankan tanggungjawab dengan baik maka tindakan secepat mungkin perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pemantapan Jentera Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Kompleks Dewan Tun Ghafar Baba di Seputeh, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Seputeh merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff serta kepimpinan lain.

Pada masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu berkata PH tidak sesuai untuk menjadi kerajaan kerana tidak berpengalaman dalam melaksanakan urus tadbir di samping ketiadaan pemimpin berkaliber.

Johari bagaimanapun mengakui kebolehan PH yang bijak mengambil kesempatan dan mengkritik kerajaan terutama semasa menjadi pembangkang sehinggakan berjaya memainkan isu-isu tertentu ketika menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga berjaya mempengaruhi rakyat.

“PH punya kebolehan main isu, pada PRU-14 dimainkan isu di sosial media tarik perhatian orang yang duduk di rumah, dahulu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kemudian dia cari dalam empat tahun ini tidak ada isu akhirnya sampai isu LCS.

“Tengok pada PRU-14 main isu 1MDB hingga selesai kita kemudian jadi kerajaan rupanya pengalaman 21 tahun pembangkang ini untuk kritik tapi bila jadi kerajaan tak boleh perintah dan tidak ada pemimpin-pemimpin yang berkaliber.

“Ada orang kata kita sepatutnya bagi dia masa sebab hanya ada 22 bulan sambung 17 bulan geng dia juga, apa yang saya hendak tekan dalam politik apabila berpegang di antara kerajaan dan pembangkang kalau mana-mana parti yang menang tubuh kerajaan dia tidak ada masa kerana bila dapat kerajaan lepas 100 hari kena buat kerja.

“Dia janji kepada rakyat ini adalah yang bersifat penipuan, memang tak mungkin dilaksanakan tapi kebolehan dia yang meyakinkan rakyat dengan janji-janji palsu dibuat akhirnya rakyat termakan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.