Kemenangan BN Dalam Siri PRK, PRN Bukti Rakyat Mahu Kerajaan Yang Stabil

 

Kemaman, 14 Ogos – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah isyarat yang jelas rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat sedar tanpa kestabilan politik negara tidak akan dapat diurus dengan baik.


“Rakyat mahu melihat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini kerajaan yang ditubuhkan adalah kerajaan yang mantap, kuat dan boleh memberikan kestabilan politik dan kestabilan ekonomi negara kita.

“Ekonomi negara merosot selepas kita tewas 2018. Pelabur asing tidak datang lagi, pelabur yang ada di dalam negara pun keluar. Siapa yang hendak melabur di negara yang menteri kewangannya kata negaranya akan bankrap.

“Ini semua yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) 22 bulan mentadbir negara. Tiada apa yang dilakukan melainkan menghentikan segala projek yang dibuat di zaman BN,” kata Pengarah Pilihan Raya BN itu ketika berucap di majlis pelancaran jentera BN negeri Terengganu dan gelombang biru tawan Terengganu di Pantai Penunjuk, Kijal di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan kepimpinan pusat, negeri serta tempatan.

Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, antara projek yang diberhentikan oleh PH termasuklah yang dijadikan polemik oleh mereka sendiri sekarang iaitu berkaitan kapal tempur pesisir (LCS), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih RM300 juta kepada Singapura, Projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) yang dibatalkan kemudian diadakan semula dengan diubah jajaran, Lebuhraya Pan Borneo dan Projek Perumahan Rakyat Malaysia (PRIMA).

Ulasnya lagi, kepimpinan parti nekad mahu menubuhkan sebuah kerajaan yang mantap dan kuat untuk memberikan kestabilan kepada negara.

“Negara politik yang stabil akan membawa kemakmuran rakyat. Inilah tanggungjawab ahli politik untuk mentadbir negara dengan baik demi kesejahteraan, kemakmuran rakyat untuk lima tahun yang akan datang,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan bagi menghadapi PRU-15, Mohamad berkata Pusat Daerah Mengundi (PDM) hendaklah diurus dengan baik kerana menjadi penentu kemenangan atau kekalahan.

“PDMlah tempat kita bertempur, di PDM menang atau kalah. Kalau PDM tak diuruskan dengan baik…tak mungkin kita boleh menang di DUN (Dewan Undangan Negeri), kalau DUN tak boleh menang dengan selesa, tak mungkin kita akan menang di Parrlimen.

“Maka ‘micro management’ PDM diurus dengan baik. Kenali pengundi dengan baik dan pujuklah mereka dengan sebaik mungkin untuk bersama dengan kita,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.