Betulkan Persepsi… Formula UMNO/BN Terbukti Berjaya Mengurus Negara

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Formula kesepakatan yang ditunjukkan UMNO/Barisan Nasional (BN) sepanjang memegang tampuk kepimpinan terbukti menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya dari pelbagai aspek selama 13 penggal berturut-turut.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, ini bukannya kebetulan bahkan satu bukti kukuh kepada resepi kejayaan yang sebenar dan jelas jenama UMNO/BN mempunyai keunggulan tersendiri.

“Lihat sahaja cara kita membuat keputusan, semua mesti didasarkan kepada keputusan sebulat suara atau konsensus. Tidak ada perkara yang diputuskan secara bersendirian tanpa mengambil kira suara dan pandangan lain.

“Di bawah model BN, semua pihak walau sekecil mana pun keanggotaan partinya akan punya suara, tempat dan ruang. Tidak ada yang diketepikan dan dinafikan haknya. Jadi, menjadi BN itu maksudnya menjadi lebih terangkum, lebih memberi ruang dan membuka peluang. Inilah BN yang kita kenal dan inilah BN yang kita mahu terus kekal,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita BN pada Ahad, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO/BN bukan sekadar tampak kuat tetapi benar-benar kuat sebagai sebuah pasukan.

“Lihat sahaja dalam pelbagai pilihan raya yang telah kita tempuhi semenjak kita tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Kita memenangi hampir semua Pilihan Raya Kecil (PRK) dn Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Resepinya ialah jentera parti kita senantiasa membantu antara satu sama lain kerana kita semua percaya, hanya bila BN kuat, UMNO, MIC dan MCA sendirinya akan kuat. Lihat sahaja bagaimana kerusi MCA dan MIC bertambah di PRN Johor dan Melaka. Ini menunjukkan kita berbahagi, bertolak ansur dan saling melengkapi,” katanya lagi.

Tambah Mohamad lagi, adalah sangat penting untuk kita memastikan pilihanraya ini bukannya pilihanraya yang berdasarkan persepsi canggung, namun berpandukan informasi yang sahih.

“PRU15 ini mesti menjadi perang maklumat yang sahih bukannya persepsi yang canggung. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita mestilah disokong dengan data dan ketepatan maklumat. Disokong dengan pelan dan didukung dengan pencapaian.

“Saya sangat bimbang jika pencapaian sebenar kerajaan tidak dijadikan ukuran sebenar. Apalagi kegagalan sebenar Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak dihebahkan dengan objektif dan yang paling membimbangkan saya ialah bila rakyat disajikan dengan mere noise bukannya factual evidence.

“Saya mahu kita membetulkan kembali semua persepsi yang salah dan digantikan dengan maklumat yang sahih, benar serta mempunyai data yang empirical. Berapa peruntukan pembangunan yang telah kita belanjakan, berapa rumah yang telah kita bina, berapa pekerjaan yang telah kita wujudkan dan berapa subsidi yang telah kita sumbangkan.

“Semua ini adalah komitmen dan pencapaian sebenar kita. Jadi ia mesti dijelaskan secara klinikal. Semuanya mesti disebar luaskan dengan pelbagai cara. Cara terbaik untuk membetulkan persepsi ialah dengan melumpuhkannya menggunakan kenyataan yang benar dan sahih,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad sangat yakin bahawa rakyat boleh menilai dan tidak akan terpedaya lagi dengan hasutan serta tohmahan pihak pembangkang dalam mendepani PRU15.

“Saya sangat yakin rakyat boleh menilai, boleh berlaku objektif dan adil serta tidak terpedaya. Kita harus sedar, walaupun segala persepsi dan tohmahan tersebut adalah salah dan tidak benar sama sekali.

“Namun, jika ianya dibiar dan diulang berkali-kali tanpa jawapan daripada kita, ia akan dianggap betul dan benar oleh rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.