Perlu Ada Tiga ‘W’ Untuk Menang PRU – Mohamad Hasan

 

KOTA BHARU, 13 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perlu ada dalam tiga ‘W’ dalam diri setiap jentera bagi memastikan kemenangan parti di dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ujar Timbalan Presiden UMNO itu, tiga ‘W’ tersebut adalah ‘winning mentality’, ‘winning strategy’ dan ‘winning move’.


“’Winning mentality’ iaitu sikap untuk menang, persediaan untuk menang itu penting. ‘Winning strategy’ iaitu strategi untuk menang, semangat mesti bersama strategi kerana tanpa strategi hanya membuang peluru. Zaman Rasulullah S.A.W pun ada strategi.

“’Winning move’ iaitu apa cara kita nak kita laksanakan untuk mengurus strategi yang telahpun kita letak. Mengadakan strategi sahaja tanpa mengadakan langkah pelaksanaan juga tidak memadai. Cantik di atas kertas, papan kenyataan tetapi tidak diurus atau dilaksanakan juga tidak boleh.

“Peperangan menang kerana strategi. Kita masuk pilihan raya ini ‘berperang’. Kalau masuk berperang tentukan kita menang. Jangan masuk perang tapi kita tidak bersedia dan kita kalah. Jangan sesekali kita menempuh peperangan dan kita tahu bahawa kita akan kalah,” kata Pengarah Pilihan Raya BN itu.

Mohamad berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Perjumpaan Bersama Kepimpinan UMNO, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Ketua Jalinan Rakyat (JR) PDM dan Jentera BN Negeri Kelantan di Dewan UMNO Negeri Kelantan, di sini pada Sabtu.

Tambahnya lagi, gerak kerja di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) merupakan benteng dan akan menentukan menang atau kalah parti.

“PDM menentukan kita menang atau kalah kerana di situlah peperangan yang sebenar. Jadi pengurus-pengurus PDM dan kawasan pilihan raya memainkan peranan yang amat besar.

“Ada beberapa perkara terutamanya pengundi baharu yang begitu ramai didaftarkan secara automatik… bagaimana cara untuk kita dapat mengkaji sikap mereka ini yang baru pertama kali mengundi.

“Semua perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk membantu kaji sikap pengundi-pengundi terutama pengundi baharu, ini bukan perkara mudah,” katanya.

Seterusnya jelas Mohamad lagi, beberapa siri kemenangan pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan ombak pengundi bersama dengan BN.

Begitu juga dengan sikap anak-anak muda yang telah bersama menyokong BN seperti yang ditunjukkan di PRN Melaka dan Johor.

“Di PRN Johor banyak saluran anak-anak muda menyebelahi kita. Dan banyak kita menang di bandar-bandar di Johor atas sokongan anak muda kerana mereka mempunyai maklumat bahawa tidak ada lain kerajaan melainkan kerajaan BN akan memberikan kestabilan dan keamanan kepada negara ini.

“Negara mesti stabil dan kerajaan mesti kuat bagi membolehkan memberikan kestabilan. Dengan kestabilan sahaja ekonomi boleh kita bangunkan. Kalau tidak ada kestabilan, tidak ada sesiapa yang akan membawa modal ke negara kita,” katanya. – UMNO ONLINE