Pahang Laksana STW, Bantu Rakyat Miliki Kediaman Sendiri

LIPIS, 13 Ogos – Kerajaan Pahang melancarkan Program Skim Tanah Warisan (STW) bertujuan membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata menerusi STW, lot tanah kediaman antara 8,000 hingga 10,000 kaki persegi pada bayaran premium RM10,000 diberikan kepada mereka yang layak dan perlu dibina rumah dalam tempoh lima tahun, dengan kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh peserta.

“Kerajaan negeri menyediakan semua kemudahan asas seperti jalan masuk, sistem perparitan dan infrastruktur bekalan elektrik dan air di tanah yang terlibat. Reka bentuk dan luas rumah adalah terpulang kepada peserta namun perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi memudahkan peserta, mereka dibenarkan mencagar (tanah) kepada institusi pinjaman untuk mendapatkan pinjaman bagi menampung kos membina rumah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan STW Kuala Medang, yang merupakan lokasi pertama pelaksanaan program itu di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata daerah seterusnya ialah Pekan sebelum diperluas secara berperingkat di daerah lain, berdasarkan kepada keperluan dan kemampuan.

Seramai 250 peserta terlibat di STW Kuala Medang membabitkan tanah kerajaan seluas 30.425 hektar.

Wan Rosdy berkata buat masa ini, permohonan STW perlu dilakukan di pejabat daerah dan tanah dengan mereka yang diberikan keutamaan ialah rakyat Pahang, penduduk setempat STW dilaksanakan, golongan berpendapatan rendah atau yang difikirkan layak oleh Jawatankuasa Pemilihan STW.

Mengambil contoh STW di Kuala Medang, Wan Rosdy berkata ia turut melibatkan penduduk setempat yang tidak mempunyai slip gaji kerana bekerja kampung, penoreh getah atau nelayan tradisional kerana hasrat utama kerajaan negeri ialah memastikan mereka juga boleh memiliki kediaman sendiri.

Bagi memastikan matlamat itu tercapai, Wan Rosdy berkata hak milik tanah terlibat diberikan moratorium selama 10 tahun dengan ia tidak boleh dijual atau dipindah milik.

Ditanya tindakan jika peserta tidak dapat membina rumah dalam tempoh lima tahun, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri masih mempunyai budi bicara, jika peserta mempunyai alasan yang kukuh yang layak dipertimbangkan.

Pada program itu, Wan Rosdy turut menyampaikan surat hak milik Rancangan FELCRA Kuala Medang kepada 169 peserta dan mengingatkan mereka supaya tidak menjual hak milik itu kepada orang lain untuk keuntungan segera. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.