Kekuatan Jentera Akar Umbi Kunci Kemenangan BN – Ahmad Jazlan

 

KOTA BHARU, 13 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kekuatan jentera di peringkat akar umbi adalah kunci kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Ujarnya, jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan juga cawangan perlu diperkasakan serta melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.


“Saya ada satu pasukan yang siap sedia untuk berhadapan di medan tempur pada kali ini. Badai gelora akan kita redah, hutan belantara akan kita rentasi.

“Kunci kemenangan adalah kekuatan jentera akar umbi. Yang penting buat kerja ‘molek-molek’ di peringkat PDM, cawangan… kekuatannya ada di sini.

“Tidak ada gunanya kuat di peringkat bahagian tetapi di peringkat PDM berterabur. Perkasakan di peringkat PDM masing-masing, perkuat jentera. Jika perlu ada sedikit perubahan, perlu berani buat perubahan,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Perjumpaan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan bersama kepimpinan UMNO, Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Ketua Jalinan Rakyat (JR) PDM dan Jentera BN Negeri Kelantan di Dewan UMNO Negeri Kelantan, di sini pada Sabtu petang.

Selain Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Turut hadir Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pengerusi Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.

Jelas Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang, pilihan raya kali ini akan menampilkan semangat jentera yang lain daripada sebelumnya.

“Semangat kali ini lain tidak seperti dahulu. Ini adalah gelombang kebangkitan jentera BN dalam negeri Kelantan.

“Yang penting hari ini kita dapat lihat bagaimana arus kebangkitan rakyat negeri Kelantan, bahawa kita akan merampas negeri Kelantan,” ujarnya.

Begitu juga Ahmad Jazlan turut terharu atas komitmen dan kesungguhan jentera parti yang ramai hadir ke majlis tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.