BN Kekal Keputusan Bergerak Solo PRU15 – Mohamad

 

CHUKAI, 13 Ogos – Barisan Nasional (BN) kekal dengan keputusan untuk bergerak solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti gabungan itu akan berusaha keras untuk memenangi seberapa banyak kerusi di Parlimen untuk membentuk kerajaan sendiri pada PRU15.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata jika keputusan menunjukkan sebaliknya, pihaknya sedia berunding dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil demi kemakmuran rakyat.

“Walaupun ramai orang kata bahawa kami akan pergi dengan parti itu, parti ini pada PRU15, BN masih kekal dengan keputusan untuk pergi secara solo dengan disokong oleh parti rakan.

“Selepas pilihan raya kami tengoklah, kalau menang dan dapat tubuh sendiri kerajaan…alhamdulillah. Jika tidak, keputusan parti akan tentukan dengan siapa kami perlu berunding untuk bentuk kerajaan yang mantap,” katanya pada Pelancaran Jentera PRU15 BN Negeri Terengganu di Pantai Penunjuk, di Kijal dekat sini hari ini.

Mohamad berkata antara kriteria yang ditetapkan untuk pemilihan parti yang akan membentuk gabungan itu nanti ialah yang mempunyai titik persamaan dan agenda perjuangan sama dengan BN.

Ia bagi memastikan persefahaman antara mereka seterusnya mewujudkan suasana politik yang stabil dalam negara, katanya.

“Kita tak mahu rakyat terus jadi mangsa pergolakan politik…cukup-cukuplah. Empat tahun ini negara kita masih tak ke mana sedangkan negara lain yang lebih teruk diserang COVID-19 berbanding kita telah melonjak prestasi (ekonomi) kerana ramai pelabur asing datang melabur disebabkan politik yang stabil,” katanya.

Sebelum ini, melalui laporan daripada media tempatan, para penganalisis politik memberi bayangan tiada mana-mana gabungan parti akan meraih kemenangan secara majoriti pada PRU15 dan penggabungan antara parti yang menang diperlukan bagi membentuk kerajaan pusat.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN akan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Isnin ini.

“Perkara ini perlu diputuskan secara konsensus. Semua parti perlu bersetuju sebulat suara,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.