Stadium Shah Alam: Kerajaan PH Selangor Gagal Urus Tadbir Negeri – Izwan Hamzah

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari jelas gagal untuk mengurus tadbir negeri terutamanya isu melibatkan Stadium Shah Alam.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ampang, Izwan Hamzah berkata, khabar angin mengenai stadium tersebut bakal dirobohkan juga menyebabkan netizen terutamanya rakyat Selangor berasa marah dan dukacita.

“Berkenaan dengan isu Stadium Shah Alam, kita melihat bahawasanya ini merupakan isu yang tiba-tiba timbul kerana rakyat Selangor khususnya melihat tempat ini sebagai satu tempat di mana mereka khususnya penyokong ‘Red Giant’ berkumpul untuk menyokong pasukan bola sepak negeri.

“Tetapi malangnya sejak pemerintahan Tan Sri Khalid Ibrahim sehingga kini di bawah pemerintahan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar di bawah PH, mereka gagal untuk mengurus tadbir dengan baik terutamanya melibatkan isu stadium ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Izwan, perkara ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri di bawah PH itu tidak mengambil cakna berkenaan isu yang besar ini.

“Stadium ini merupakan stadium terbaik yang pernah dinobatkan di Asia Tenggara. Boleh memuatkan kira-kira 80,000 orang dalam satu-satu masa. Ini menyebabkan rakyat berasa marah sehingga mereka menganggap sudah sampai masanya kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari ini bertukar tangan.

“Kalau isu stadium itu sendiri nak dirobohkan, tidak boleh nak manage dengan baik, bagaimana pula dengan urus tadbir kewangan negeri dan kerajaan negeri? Itu baru satu isu. Belum melibatkan isu Yayasan Selangor untuk pendidikan anak-anak Selangor, isu banjir yang mana penduduk Flat Sri Muda saman kerajaan negeri sampai berpuluh juta, isu banjir kilat, isu PBT, ketirisan pengurusan dan sebagainya. Terlalu banyak kelemahan sekiranya mahu disenaraikan. Tetapi mereka menggunakan media baru sebagai platform untuk terus mempengaruhi minda rakyat, bahawasanya kerajaan negeri melakukan yang terbaik,” katanya lagi.

Tambahnya, pengumuman jumlah peruntukan bagi membaik pulih stadium tersebut juga tidak masuk akal dan pelantikan kontraktor secara rundingan terus turut menyebabkan rakyat mempersoalkan ketelusan mereka sebagai kerajaan negeri.

“Datuk Seri Amirudin Shari ada mengumumkan bahawa sebanyak RM787 juta diperuntukkan untuk membaik pulih stadium. Bukan untuk merobohkan atau membina baru, tetapi untuk membaik pulih stadium. Sedangkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) hanya memerlukan RM200 juta untuk membina serta menaiktaraf stadium yang orang di luar sana melihat ianya sebagai stadium terbaik pada masa kini di seluruh Asia. Kedua, tiba-tiba dilantik RCB sebagai kontraktor melalui direct nego. Jadi, perkara ini menyebabkan rakyat mempersoalkan ketelusan PH di bawah pimpinan beliau,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, sebagai ahli politik adalah penting untuk memastikan bahawasanya afiah dan kesejahteraan rakyat yang khususnya melibatkan bola sepak negeri Selangor ini terus terjaga.

“Kalau kita tengok pada hari ini, prestasi bola sepak itu sendiri dimana ianya terpaksa dimainkan di stadium lain. Sedangkan kita ada stadium sendiri yang berkapasiti 80,000 orang. Apakan daya, kelemahan pengurusan dan pentadbiran menyebabkan infrastruktur stadium itu sendiri musnah. Ini adalah satu perkara yang sangat tidak baik untuk rakyat Selangor.

“Apatah lagi, sultan sendiri yang merasmikan stadium tersebut pada beberapa puluh tahun yang lalu. Malanglah kepada rakyat Selangor kerana mendapat pemerintahan di bahawa PH,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.