Pengalaman, ‘Track Record’ Terbaik Layakkan UMNO/BN Kembali Memerintah

 

JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Pengalaman serta rekod pemerintahan baik yang ada pada UMNO/Barisan Nasional (BN) melayakkan parti ini untuk mendapat mandat semula bagi mentadbir negara.

Dalam tinjauan UMNO Online di Pangsapuri Desa Melayu, Johor Bahru yang menjadi penempatan semula golongan setinggan di kawasan sekitar mendapati para penduduk menaruh harapan agar UMNO/BN kembali berkuasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Desa Melayu, Suhaimi Hussin berpendapat, hanya UMNO/BN sahajalah yang mampu menjadi tempat untuk bergantung harap dan rakyat sepatutnya mengembalikan semula mandat kepada parti ini.

“Memang sepatutnya mandat diberikan semula kepada UMNO/BN kerana parti ini mempunyai pengalaman yang lebih banyak dan baik. Jadi, rakyat mempunyai tempat untuk bergantung harap.

“Kita jangan pilih selain daripada UMNO/BN. Beri mandat secukupnya kepada mereka, baru orang Melayu berasa lebih semangat. Insyaa Allah, mudah-mudahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, UMNO/BN boleh mentadbir semula,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Ehsan Penyayang yang juga merupakan penduduk di pangsapuri kawasan berkenaan, Faridah Mustafa turut menyelar tindakan Pakatan Harapan (PH) yang bersikap tidak ambil peduli terhadap kebajikan rakyat khususnya penduduk pangsapuri tersebut semasa zaman pemerintahan mereka.

“Dahulu kerajaan PH datang konon-konon katanya dapat memberi pembaharuan serta membantu rakyat. Namun semuanya tipu belaka. Bermacam perkara yang dijanjikan, tapi apa yang kami saksikan adalah kesengsaraan rakyat.

“Semasa zaman pemerintahan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, kami telah dipindahkan ke sini dengan fasiliti yang lengkap serta selesa. Namun selama pemerintahan mereka (PH) selama 22 bulan, pelbagai masalah yang timbul di tempat kami ini seperti kerosakan lif dan kelemahan pengurusan,” katanya.

Menurut Faridah lagi, kekalahan UMNO/BN pada PRU ke-14 adalah disebabkan fitnah yang dilakukan oleh PH dan apabila menang, mereka tidak membantu rakyat.

“UMNO/BN kalah semasa PRU ke-14 dahulu adalah disebabkan fitnah. Mereka (UMNO/BN) ini tidak pandai untuk memfitnah pihak lawan bahkan hanya fokus kepada membantu rakyat. Jadi apabila cerita-cerita fitnah ini dikeluarkan, rakyat termakan. Selama 22 bulan tersebut, tiada apa pun yang PH lakukan. Saya rasa semua penduduk turut bersetuju dengan saya.

“Pada saya, cukuplah 22 bulan, contoh yang pada satu masa dahulu dijanjikan kepada rakyat bahawa akan ada perubahan yang mereka akan memberikan yang terbaik. Mereka ini cakap memang pandai tetapi gagal dalam melaksanakan. Kita dah nampak, hanya UMNO/BN yang boleh melaksanakan sesuatu perkara yang membawa kesan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.