Tidak Ada Sebab UMNO Sabah Serah Kerusi Parlimen Yang Dimenangi Kepada Parti Lain

KOTA KINABALU, 11 Ogos – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Siti Aminah Aching berkata, tidak ada sebab bagi UMNO menyerahkan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh parti itu kepada parti lain termasuk PPBM untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya, UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), walaupun ada pihak termasuk PPBM menuntut akan mempertahankan enam kerusi Parlimen yang disandang wakil rakyat parti itu pada PRU-15.

Menurut Siti Aminah perlu diingat enam kerusi yang dimaksudkan sebelum ini diwakili oleh UMNO dan mereka yang bertanding dan mencapai kemenangan adalah atas tiket dan sokongan ahli UMNO.

“Bagaimana pun mereka kemudiannya mengambil tindakan menyertai PPBM walaupun tidak mendapat restu dari ahli dan rakyat di peringkat umbi.

“Tidak ada sebab kami menyerahkan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO ini kepada parti lain pada PRU ke-15, ketetapan ini bukan hanya oleh Majlis Kerja tertinggi (MKT) UMNO, tetapi ia lahir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Ketua Srikandi Parti Pribumi PPBM Sabah Datuk Seri Azizah Mohd Dun pada Rabu lepas yang menegaskan parti berkenaan akan mempertahankan kerusi di enam kawasan pada PRU Ke-15 akan datang.

Dalam kenyataan medianya pada Rabu lepas Azizah berkata, PPBM akan mempertahankan enam kerusi iaitu Sipitang, Beluran, Libaran, Kudat, Ranau termasuk Beaufort yang didakwa sebagai kerusi PPBM pada PRU Ke-15 akan datang

Menurut Siti Aminah, UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama, namun menyedari ia adalah lumrah sebuah negara demokrasi.

Bagaimanapun, Siti Aminah berkata kekuatan UMNO dan akar umbinya yang bangkit tidak harus sesekali diperkecilkan.

“UMNO parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.

“Dominan bukan pula bermaksud angkuh tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu Setiausaha UMNO Bahagian Sipitang Abdul Rahman Mohd Noh ketika dihubungi berkata, UMNO bahagian itu juga akan mempertahankan kerusi di kawasan tersebut yang dimenangi atas tiket parti itu sebelum ini.

Katanya, tidak ada alasan bagi parti itu menyerahkan kepada parti lain untuk bertanding di kawasan tersebut kerana umum mengetahui kerusi di kawasan tersebut sebelum ini dimiliki oleh UMNO dan demi maruah parti ianya perlu dipertahankan pada PRU Ke-15 akan datang.

“Kita telah bergerak dan mengaktifkan sebanyak 30 buah kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jentera parti kini dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU Ke-15 akan datang,

“Insya-Allah kita yakin UMNO dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU15,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.